Apa Itu Cinta?
Posted by Encik Sehinggit on 4/23/13
Mana mungkin manusia biasa seperti saya terlepas dari cinta. Cinta adalah fitrah buat manusia. Cinta juga adalah satu anugerah yang amat bernilai dari Allah yang maha esa kepada hambanya. Kerana cinta itu begitu indah dan ia sukar dilafazkan dengan kata-kata, ramai yang cuba membuat kesimpulan apakah makna sebenar cinta.
Saya kurang faham makna sebenar cinta, saya kurang jelas mengenainya. Namun saya cuba mencari jawapan, saya cuba membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya cinta itu memiliki sifat-sifatnya yang tersendiri. Cinta tidak semestinya hanya kepada seorang insan bernama kekasih. Tetapi cinta itu merangkumi seluruh kehidupan. Dan dari pengamatan saya, cinta itu sebenarnya adalah..
Amanah Dari Allah
Ya, cinta itu adalah amanah! Bukan nafsu, bukan kehendak dan bukan juga hak yang perlu dituntut. Apabila jatuh cinta kepada seseorang, kita rasa seolah-olah kita memerlukannya. Kita mahu memilikinya, kita mahu dia mendampingi kita dan kita mahu cinta yang kita harapkan itu terbalas.
Tidak salah mahu mendampingi orang yang disayangi, tidak salah mahu memiliki hati dan kasih sayang mereka. Namun bukan itu yang lebih utama, kerana orang yang kita cinta belum tentu mencintai kita, orang yang kita suka belum tentu menyukai kita. Jadi dengan rasa cinta yang diamanahkan oleh Allah kepada kita ini, kita hulurkanlah apa saja yang terbaik buat mereka. Jika dapat memikat hatinya, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, usahlah mengungkit dan berdendam.
Cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab! Apabila disebutkan sebagai tanggungjawab, ia bermakna kita perlu memberi, namun tidak semestinya menerima. Lindungi mereka, sayangi mereka, kasihi dan berikan yang terbaik kepada mereka, sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan melainkan redha dari pemberi amanah (Allah) semata-mata.
Keikhlasan Yang Menipu
Ada pepatah menyatakan “Cinta itu adalah dua jiwa menjadi satu!”. Lalu sesetengah orang yang cintanya tidak terbalas mula mempersoalkan qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya seperti :
Kenapa cinta aku tidak terbalas?
Apa salah aku?
Apa kekurangan aku?
Kenapa dia tidak menerima cinta aku?
Aku sangat ikhlas mencintainya, kenapa dia buat aku begini?
Ramai orang yang bercinta sentiasa mengaku bahawa dirinya ikhlas mencintai seseorang. Namun pada hakikatnya mereka sedang menipu diri sendiri! Apakah sebenarnya maksud ikhlas? Jika sekadar rasa cinta yang jujur kepada seseorang, itu bukan ikhlas.
Ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah, tanpa mengharapkan balasan daripada manusia. Tidak nampak keikhlasan seseorang sehinggalah dia disakiti dan apabila dia tidak dapat apa yang diinginkannya. Mereka berkata bahawa mereka ikhlas dalam bercinta, tetapi apabila ditinggalkan mereka mula mengungkit, mula bercerita satu dunia bahawa keihklasan mereka dikhianati.
Aku ikhlas mencintaimu, namun apakah yang telah kau lakukan kepadaku?
Ayat-ayat seperti ini mula diukirkan dalam hati mereka. Disebut-sebut dan diulang-ulang supaya ramai orang bersimpati dengan mereka. Supaya ramai orang merasakan dirinya benar dan orang yang menolak cintanya itu telah melampau.
Cinta itu adalah amanah. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa yang ditentukan oleh Allah yang esa! Tidak kira samada baik ataupun buruk. Tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata.
Kaitan Cinta Dengan Amanah
Mari kita susuli kenapa cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu sebenar-sebenarnya adalah amanah:
(1) Kita diwajibkan atau diamanahkan mencintai Allah melebihi segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah/cinta pertama yang perlu kita lakukan.
(2) Mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa juga adalah amanah dari Allah. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa berdoa dan menghormati mereka.
(3) Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya, khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi menunju cinta Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Inilah cinta, inilah amanah!
(4) Apabila mencintai wanita/lelaki yang belum halal, kita tidak boleh keluar berdua-duaan dengannya, tidak boleh bermanja-manja, berkasihan seperti pasangan yang telah berkahwin, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh melihat aurat masing-masing. Pergilah melamar dan satukan dengan ikatan perkahwinan, jika tidak dapat bersama, redhalah dengan ketentuan-Nya. Kita telah melakukan tanggungjawab kita, selebihnya bergantung kepada qada dan qadar dari Allah. Ini adalah amanah, ini adalah cinta yang benar!
(5) Mencintai alam semesta. Allah berfirman di dalam Al-Quran “Manusia akan menghancurkan dunia ini dengan tangan-tangan mereka sendiri.” Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit demi sedikit.
Mungkin terdapat banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Namun saya rasa cukuplah sekadar itu sahaja untuk kali ini. Mari sama-sama kita menghayati makna sebenar cinta. Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara. InsyaAllah..
Ulama Gesa Amina Direjam Sampai Mati
Posted by Encik Sehinggit on 3/24/13
Tunisia – Seorang ulama di Tunisia menggesa agar seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, Amina yang bergambar bogel dalam Facebook dikuarantin dan direjam dengan batu bagi mengelakkan perbuatan berkenaan menjadi `wabak’.
Alami Adel, yang mengetuai Suruhanjaya Mencegah Maksiat berkata, berdasarkan hukum Islam, Amina perlu dirotan sebanyak 80 hingga 100 kali.
Namun disebabkan kesalahan yang dilakukan adalah serius maka dia perlu direjam sampai mati.
“Dia seperti seseorang yang sakit,’’ katanya.
Amina yang juga anggota kumpulan FEMEN, iaitu pergerakan aktivis wanita telah memuat naik gambarnya yang mendedahkan payu dara sambil menghisap rokok.
Pada badannya ditulis perkataan Arab bermaksud `Badan saya milik saya’.
Dia sebelum itu telah dihantar oleh ibu bapanya ke hospital psikiatrik di Tunis.
Menurut media Tunisia, sabit kesalahan, Amina boleh dihukum penjara hingga dua tahun dan didenda antara $60 hingga $600 dolar.
Tindakan Amina yang tidak bermoral itu telah dikecam banyak pihak malah ada yang mengancam akan membunuhnya.
Dalam pada itu, Khamis lalu, Facebook FEMEN telah digodam dengan gambar-gambar tidak senonoh itu telah digantikan dengan ayat-ayat Al-Quran.
“Syukur pada ALLAH kerana kami berjaya menggodam laman web tidak bermoral ini. Lebih banyak yang akan menyusul,’’ itu mesej yang diletakkan oleh penggodam dikenali sebagai `al-Angour’.
FEMEN merupakan sebuah pertubuhan yang berpengkalan di Ukraine dan ia menghimpunkan wanita untuk melakukan protes dalam keadaan bogel dengan alasan memperjuangkan hak-hak wanita.
Wajah Yang Cantik Datang Dari Hati Yang Baik
Posted by Encik Sehinggit on 3/22/13
“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,”tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, Iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik, cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.
“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ‘signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ’masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias.
“Apa guna, kita dah tua.”
“Alah, awak ni tumpu ibadat lah.”
“Dah tua buat cara tua.”
Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.
Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik ( seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?” Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40-an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.
“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia. Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
“Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa, tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak mengapalah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.
“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk, dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum.
Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa. Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka, berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?
Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik
“Kita para suami pun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri. Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”
“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi, aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”
Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua, kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”
Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50-an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji Iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteri pun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti Imam Safie, pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat. Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi ‘tongkat Ali!’
AWAS! Cara Rompakan Terbaru Di Stesen Minyak
Posted by Encik Sehinggit on 2/22/13
Ini adalah sangat menakutkan, serupa dengan kes Ms Canny Ong. Pada suatu hari, terdapat seorang wanita yang berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak. Setelah selesai memenuhkan tangki minyak selepas membayar menggunakan kad kredit di pam dan ingin meninggalkan stesen tersebut, atendan di dalam kedai lantas bercakap menerusi speaker dan memberitahu sesuatu yang berlaku dengan kad itu dan meminta wanita itu masuk ke dalam untuk membayar tunai.
Wanita itu keliru kerana dia telah selesai mengisi minyak dan pembayaran menggunakan kad kredit telah diluluskan. Dia menunjukkan isyarat tangan kepada atendan tersebut dan bersiap sedia untuk meninggalkan tetapi atendan tersebut sekali lagi menggesa wanita tersebut masuk ke dalam kaunter kedai untuk membayar tunai. Dengan perasaan sedikit marah, wanita itu terus masuk ke dalam kedai dan mempertikaikan tindakan petugas tersebut dan menuduh dia menipu.
Atendan tersebut memberitahu supaya wanita itu bertenang dan mendengar dengan teliti Atendan memberitahu ketika wanita tersebut sedang mengisi minyak, dia telah melihat seorang lelaki telah masuk ke dlm kereta dan bersembunyi dikerusi belakang . Dengan segera beliau telah menghubungi pihak polis. Wanita tersebut terus menjadi takut dan segera melihat pintu keretanya terbuka dan lelaki itu telah menyusup keluar dan meninggalkan kereta itu dengan tergesa-gesa.
Kes baru-baru ini didapati mempunyai kaitan dengan ujian untuk permulaan geng jenayah terbaru dimana memerlukan seseorang untuk membawa balik bahagian badan seorang wanita .. Salah satu cara yang mereka lakukan adalah dengan merangkak perlahan-lahan dan menyusup masuk ke dalam kereta wanita manakala sasaran utamanya adalah stesen minyak atau di kedai runcit pada waktu malam.
Kemudian, mereka akan potong kaki / buku lali mangsa menculik mereka dan kemudiannya membunuh dan mencerai-beraikan mereka. Kaedah lain adalah dengan memaksa wanita itu masuk ke dalam kereta kemudian menculik mereka, Sila sebarkan ini kepada wanita lain, orang muda dan tua.
Pertama, wanita seharusnya lebih berhati-hati apabila ingin masuk ke dalam kereta pada waktu malam. Kedua, Jangan letakkan kereta di tempat sunyi atau terpencil semata-mata ingin mendapatkan tempat letak kereta percuma! Ketiga, Jika boleh, elakkan memandu seorang diri pada waktu malam! Ini adalah situasi sebenar! Penculikan! Pembunuhan! Putus dan anggota badan dicerai-ceraikan! Ini semua berlaku di Malaysia !
Jadikan amalan :
- Pastikan kereta berkunci setiap masa walaupun anda meninggalkan kereta sebentar.
- Periksa sekeliling kereta sebelum masuk ke dalam kereta.
- Sentiasa peka terhadap sebarang tanda-tanda pelik dari persekitaran anda dan individu lain di dalam sekitar umum, terutama pada waktu malam










