3 lagi maut ekoran banjir di Terengganu


Seorang penduduk Kampung Kederang, Permaisuri, Setiu, Mohd Khairulniza Adanan menunjukkan tempat mangsa ditemui.


KEMAMAN - Keadaan banjir di Terengganu khususnya di Kemaman kian buruk dengan tiga lagi terkorban, menjadikan mangsa lemas di negeri itu meningkat kepada enam orang.

Dalam kejadian di Kampung Hilir Pasir Gajah, Air Putih, mayat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dadong, Mohd Ezami Hakim Mohamad, 15, dan rakannya, Muhammad Hafiz Mohd Nasir, 14, yang lemas ditemui kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Kedua-dua mangsa lemas kira-kira jam 4.30 petang semalam semasa cuba menyelamatkan tiga rakan mereka yang dihanyutkan arus deras ketika mereka sekumpulan bermain air.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, namun begitu sewaktu mahu menyelamatkan rakan, kedua-dua mereka pula dihanyutkan arus dan hilang sementara tiga rakan mereka pula selamat kerana sempat berpaut pada pokok. "Tempat mereka mengharung air sedalam kira-kira 0.5 meter dan berdekatannya terdapat parit.

"Susulan itu, usaha mencari dan menyelamat dilakukan polis dan bomba dengan kerjasama penduduk. Mayat Mohd Ezami Hakim dan Muhammad Hafiz ditemui kira-kira jam 10.30 malam, tidak jauh dari lokasi tempat mereka lemas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Che Suza, air di kawasan mangsa ditemui sedalam kira-kira dua meter dan berarus deras. Jenazah kedua-duanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut Pasir Gajah, hari ini. Difahamkan, pada awalnya 10 orang yang bermain air tetapi lima daripadanya pulang awal.

Kematian dua mangsa berkenaan menjadikan seramai tiga remaja maut kerana lemas di daerah ini setakat ini. Dalam pada itu, keriangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menemani bapanya menahan pukat ikan darat di Kampung Kederang, Permaisuri, Setiu di sini berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kampung itu petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa Nik Mohd Al Fahmi Jailani, 6, terjatuh ke dalam parit tali air sebelum mayatnya ditemui kira-kira jam 12.45 tengah malam. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menemani bapanya Jailani Mat Isa, 37, memukat ikan darat di kawasan sawah padi di kampung tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama bapanya berjalan kaki di tepi longkang parit tali air tiba-tiba mangsa berlari mendahului bapanya. “Mangsa telah berada di atas penutup parit kemudian tergelincir jatuh ke dalam parit tersebut sebelum dihanyutkan arus deras. Bapa mangsa berusaha menyelamatkan anaknya tetapi gagal ekoran arus deras,” katanya.

Ab Rahman berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan agensi lain  melakukan gerakan mencari selepas usaha penduduk kampung gagal mengesan mangsa. Menurutnya, akhirnya mangsa ditemui tersangkut pada lumpur di dasar parit tali air itu kira-kira 200 meter dari tempat dia terjatuh kemudian mayatnya dihantar ke Hospital Besar Setiu untuk bedah siasat.

Siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah. Mayat mangsa kemudian dituntut keluarganya kira-kira jam 4 pagi tadi sebelum dibawa pulang ke kampung mereka di Kampung  Permatang Sungkai, Pasir Putih, Kelantan.

“Mangsa bersama bapa dan ibunya datang ke kampung itu melawat saudara ibu mangsa yang tinggal kampung itu sebelum bapa mangsa mengambil peluang untuk memukat ikan memandangkan air banuak di kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ab Rahman menasihatkan orang ramai  agar tidak bermain air atau menahan pukat jika tidak memakai jaket keselamatan kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini - Sinarharian

0 Response to "3 lagi maut ekoran banjir di Terengganu "

Post a Comment

Jom Follow

Site Info

Recent Comments Widget