Bayi Terjatuh Ke Lantai Ketika Proses Bersalin Di Hospital


Ketika seorang bapa menanti saat kelahiran anaknya di wad bersalin, dirinya menjadi tergamam apabila melihat bayi kecil itu terjatuh ke lantai. Bapanya mendakwa doktor dan jururawat bertugas cuai dalam menjalankan tugas. 


Dari segi akal fikiran yang waras, mana mungkin doktor dan jururawat tersebut sengaja berbuat demikian. Kejadian yang berlaku tidak disengajakan. Bagaimanapun, hati bapa mana yang tidak sayangkan anaknya bukan.


Seorang bapa trauma melihat bayinya terhempas ke lantai ketika proses kelahiran di Wad Bersalin, Hospital Serdang, Selasa lalu yang didakwanya berpunca daripada kecuaian doktor dan jururawat bertugas.

Zulfahmi Johari, 35, mendakwa kejadian dikhuatiri boleh menyebabkan komplikasi kesihatan anak keduanya itu untuk tempoh jangka panjang walaupun pemeriksaan doktor mengesahkan bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan setakat ini.

Ketika kejadian, sebahagian daripada kepala anak saya sudah keluar tetapi bahunya tersangkut menyebabkan kesukaran proses kelahiran. Dalam kesibukan doktor dan jururawat membuat persediaan berkaitan, bayi saya tiba-tiba meluncur keluar tanpa sempat disambut.

Bayi saya jatuh terhempas ke lantai dari ketinggian 0.6 meter dalam keadaan mengiring, manakala tali pusat terputus. Suasana agak panik ketika itu, lebih-lebih lagi bayi saya tidak menangis sebelum bantuan kecemasan diberikan, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau yang juga seorang pegawai kerajaan, berkata bayi lelakinya seberat 3.08 kilogram kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi rawatan lanjut sebelum keadaannya disahkan stabil tanpa sebarang kecederaan.

Saya bersyukur bayi saya selamat, malah hasil pemeriksaan ultra sound menunjukkan bayi saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, apa yang musykil tiada dokumen berkaitan bagi membuktikan keputusan pemeriksaan itu.

Ini bermakna kita belum tahu sama ada bayi ini akan kekal normal pada masa depan susulan kejadian tempoh hari.

Berdasarkan pemantauan saya dalam tempoh 48 jam lalu, bayi saya kelihatan kurang aktif… tidak seperti bayi lain, katanya.

Justeru, Zulfahmi meminta jaminan secara rasmi daripada pihak hospital, begitu juga Kementerian Kesihatan untuk bertanggungjawab sepenuhnya jika anak keduanya itu mengalami sebarang komplikasi kesihatan pada masa depan.

Lebih mengecewakan, hanya doktor bertugas meminta maaf di atas kejadian itu… pihak pengurusan hospital langsung tidak berjumpa saya memohon maaf atau memberi penjelasan berhubung kecuaian mereka, katanya.

0 Response to "Bayi Terjatuh Ke Lantai Ketika Proses Bersalin Di Hospital"

Post a Comment

Jom Follow

Site Info

Recent Comments Widget