Pesta Liar Tepi pantai Kononya sempena Tahun Melawat Malaysia



Beberapa gadis menunggu pasangan di sebuah hotel sebelum menuju ke pantai untuk berparti. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Lebih 30 lelaki dan wanita berusia 20-an dikesan menghadiri pesta liar dengan berpakaian seksi di tepi pantai berhampiran sebuah hotel empat bintang terkenal di sini, malam kelmarin. 

Mereka berpesta dengan meneguk minuman keras sambil menari mengikut rentak persembahan kumpulan muzik di depan pentas dan sesetengah peserta melakukan aksi tidak senonoh antara lelaki dan wanita.

Kumpulan itu termasuk beberapa wanita Melayu yang hanya memakai bikini bagaimanapun beredar dari kawasan itu apabila menyedari kehadiran polis yang membuat rondaan selepas mendapat maklumat awam. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, berkata pihaknya menerima aduan mengenai aktiviti tidak bermoral di pantai yang kedudukannya agak tersorok itu dan menghantar anggota untuk memeriksa. 

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka beredar apabila menyedari kehadiran polis. Kita tidak membuat tangkapan, namun akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya,” katanya kepada BH di sini, semalam. 

Difahamkan, sesetengah peserta parti itu bertindak luar kawalan dengan ada antara mereka berbaring di atas pantai sambil berpeluk dan berciuman dengan ghairah. 

Parti pantai itu dianjurkan sebuah syarikat pengurusan acara kononnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014 dengan mengenakan bayaran RM165 bagi setiap peserta. 

Penganjur menyediakan makan malam dan minuman beralkohol percuma tanpa had selain mengenakan syarat peserta lelaki perlu memakai seluar pendek dan wanita memakai bikini, pario atau pakaian pantai yang seksi. 

0 Response to "Pesta Liar Tepi pantai Kononya sempena Tahun Melawat Malaysia"

Post a Comment

Jom Follow

Site Info

Recent Comments Widget