Saat gemilang Shila Amzah



HAMPARAN karpet merah saya bentangkan kepada Shila Amzah atas kejayaannya dalam Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China, hujung minggu lalu.

Gadis berusia 22 tahun itu berjaya mendapat perolehan termanis dalam sejarah kerjayanya kerana mampu menjejaki kejayaan artis senior beliau di peringkat antarabangsa seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Deja Moss.

Nyata sekali kejayaan artis kita dalam mana-mana pertandingan nyanyian di peringkat dunia seharusnya dibanggakan kerana artis kita menjunjung nama Malaysia di mata dunia.

Asian Wave 2012 itu sendiri bukan acara picisan kerana kira-kira 30 negara menghantar wakil untuk berentap vokal bersama lagu pilihan masing-masing.

Melalui YouTube, kita dapat melihat aksi hebat Shila itu menerusi beberapa pusingan bersama koleksi lagu-lagu Melayu, Inggeris dan Mandarin termasuk daripada Adele, Bruno Mars dan Jaclyn Victor. Memang anak ND Lala itu sangat ‘versatile’.

Sejak dulu lagi, kebolehan Shila menguasai bahasa Mandarin menjadi satu lagi ‘advantage’ kepadanya untuk mendapat perhatian di pentas hiburan. 

Masih saya ingat ketika berborak-borak dengan Shila dan ibunya sambil menjamah ikan patin masak lemak di Temerloh, Pahang tahun lalu, kami bersembang isu belajar bahasa Mandarin di kalangan artis. Jelas langkah ayah dan ibu Shila menghantar dia mempelajari bahasa Cina sangatlah tidak rugi kerana selain fasih menguasai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris, Shila punya satu lagi kelebihan lagi. Saya percaya semua ilmu dalam dunia ini bukan tersembunyi dalam satu bahasa.

Saya sendiri beberapa kali pernah mendengar wakil korporat dari kalangan bukan Melayu begitu tertarik dengan Shila. Vokal, kualiti persembahan, kebolehan dan sikap Shila itu memang membuatkan mereka jatuh hati.

Inilah antara contoh yang boleh diikuti anak-anak muda di luar sana yang bercita-cita menjadi artis. Jangan ingat kejayaan boleh datang secara mudah dan sekelip mata atau memadai dengan sekadar memuatkan lagu sendiri ke dalam YouTube tetapi pengetahuan seni... kosong.

Tanyalah Shila yang dulu dikenali sebagai Shila Tekno mahupun Anuar Zain yang bermula sebagai Anuar Kain Pelikat. Bukan sehari dua mereka berjuang di sini dan akhirnya mereka berada dalam kelas tersendiri.

Saya juga bangga kerana pertandingan nyanyian di luar negara seperti Asian Wave 2012 tidak mengamalkan diskriminasi terhadap artis yang bertudung seperti Shila. 

Mereka jelas lebih memandang bakat dan inilah yang seharusnya menyedarkan segelintir masyarakat kita sendiri terutama badan korporat yang mula memandang sebelah mata apabila penyanyi kita bertudung. Kita sama-sama renungkan

0 Response to "Saat gemilang Shila Amzah"

Post a Comment