Sandiwara Shila, Sharnaaz?




ND Lala mahu anak tumpu kepada kerjaya, bukan ulas cerita peribadi

Belum reda perihal luahan kasar pelakon, Sharnaaz Ahmad, 27, di laman Twitter gara-gara ucapan kekasihnya, Shila Amzah, 22, ketika Anugerah Planet Muzik (APM) Ahad lalu, sehari kemudian penyanyi itu pula membuat pendedahan sudah menerima lamaran jejaka terbabit. 

Seperti drama rantaian dengan aneka konflik, episod turun naik percintaan yang bagai sengaja mahu dipertontonkan kepada umum menerusi laman sosial akhirnya dibiarkan bungkam begitu saja apabila Shila mahu pun Sharnaaz mengambil pendekatan berdiam diri. 

Walau si lelaki mendakwa akaun Twitternya digodam dan Shila pula memadamkan status ‘lamaran’ yang ditulisnya tidak lama kemudian, ia tetap mengundang perhatian ramai. Selepas usaha mendapatkan kedua-duanya menerusi panggilan serta sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berbalas, kenyataan soal lamaran yang sepatutnya lebih manis tidak dibicarakan secara terbuka itu diajukan kepada bapa Shila, ND Lala. 

Harumkan negara lebih penting 

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara veteran ini, sebagai insan yang melihat jatuh bangun anak sulungnya itu selama 12 tahun untuk berada pada tahap sekarang, dia lebih selesa andai Shila memberikan tumpuan terhadap kerjaya berbanding hal peribadi. 

Menerusi kiriman e-mel, ND atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, berkata dia tidak mahu Shila memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu berikutan tumpuan yang perlu diberikan kepada persiapan rapi untuk ke World Music Awards (WMA) di Miami, Florida, pada 22 Disember ini. 

“Terima kasih kepada media, peminat dan masyarakat kerana terus memberi perhatian terhadap kerjaya Shila dan saya melihat tumpuan mengangkat nama baik negara lebih penting daripada hal yang bersifat peribadi. 

“Buat masa ini saya tidak mahu Shila memberi ulasan kerana perhatiannya lebih kepada WMA memandangkan dia dicalonkan untuk kategori Artis Wanita Terbaik dan Penghibur Terbaik, sekali gus sejarah bagi industri muzik kita di mata dunia,” katanya. 

Bersaing dengan Siti, Adele 

Selain Shila, Datuk Siti Nurhaliza turut terpilih sebagai wakil negara bagi edisi ke-23 WMA yang menampilkan lebih 200 selebriti terkenal dunia merebut trofi daripada sembilan kategori dipertandingkan. 

Bagaimanapun, Siti hanya dicalonkan dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang menyaksikan persaingan dengan Madonna, Adele, Taylor Swift, Pink, Kelly Clarkson, Alicia Keys serta lebih 30 penyanyi antarabangsa lain. 

Pada masa sama, ND juga memberi penegasan bahawa hal peribadi yang boleh ditatap orang lain adalah tidak wajar dan secara tidak langsung seakan merujuk kepada keterbukaan anaknya di laman sosial.

- Lapor Berita Harian

0 Response to "Sandiwara Shila, Sharnaaz?"

Post a Comment

Jom Follow

Site Info

Recent Comments Widget