Terbaik Amah kebas RM90,000 sikit-sikit



TEMERLOH: Selepas gagal menghubungi teman lelakinya, seorang pembantu rumah Indonesia membongkar rahsia dipendam dua tahun apabila mengaku mencuri pelbagai jenis barang kemas serta wang majikannya sebelum menyerahkan semua harta bernilai RM90,000 itu kepada lelaki berkenaan.

Pembantu rumah berusia 24 tahun itu membuat pengakuan berkenaan apabila gagal menghubungi teman lelakinya yang berasal dari negara sama, selepas suspek menghilangkan diri.

Difahamkan, semua kejadian berlaku selepas pembantu rumah terbabit diambil bekerja pada awal November 2010 dan sejak itu, dia mencuri sedikit demi sedikit barang kemas termasuk wang majikannya ketika mangsa tiada di rumah.

Selepas mengambil harta mangsa termasuk wang tunai, pembantu rumah terbabit menyerahkan barangan berharga itu kepada teman lelakinya sebelum dia mengulangi perbuatan sama ketika mangsa tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, siasatan awal mendapati, sepanjang kehilangan barang kemas, majikannya yang berusia 40 tahun itu pernah cuba bertanyakan kepada pembantu rumah berkenaan namun dia tidak mengaku mengambilnya.

Menurutnya, kali terakhir mangsa hilang gelang tangan emas pada 21 November lalu sekali gus menjadikan jumlah kerugian ditanggung berjumlah RM90,000 sebelum mangsa nekad menjalankan siasatan sendiri.

Bagaimanapun, secara tidak langsung pembantu rumah terbabit akhirnya membuka mulut pada 6 Disember lalu sebelum mengaku melakukan perbuatan mencuri sedikit demi sedikit selama bekerja dengan mangsa.

“Selepas didesak berulang kali, pembantu rumah terbabit mendakwa semua barang berharga milik mangsa diserahkan kepada teman lelakinya.

“Berikutan itu, mangsa yang tidak dapat menahan marah, terus membawa pembantu rumah berkenaan ke Balai Polis Temerloh sebelum polis menahannya untuk membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis sudah memperoleh lakaran wajah teman lelaki pembantu rumah berkenaan selain mendapati lelaki terbabit juga melarikan diri daripada majikannya dan gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mengenali suspek hanya dikenali sebagai Ramli supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. - Harian Metro

0 Response to "Terbaik Amah kebas RM90,000 sikit-sikit"

Post a Comment

Jom Follow

Site Info

Recent Comments Widget