Header Ads

Anda MESTI BACA Ini..!! 12 Perkara Yang Kita Tak Tahu Mengenai Tok Guru Nik Aziz



Syukur Alhamdulillah jenazah Allahyarham Datuk Nik Aziz telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Apa yang mengharukan, majlis pengkebumian Allahyarham telah dihadiri oleh selautan umat manusia yang benar-benar menangisi pemergian beliau. MasyaAllah, sesungguhnya amat besar kemuliaan yang Allah S.W.T berikan kepada Tok Guru Nik Aziz.

Bagi yang masih belum mengenali keperibadian TGNA, apa kata anda luangkan sedikit masa untuk membacanya di bawah ini.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nama sebenar beliau ialah Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Salasilah Keluarga Ulama
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.

Mendalami Ilmu Agama Sejak Kecil
Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pemegang Ijazah Sarjana Kehakiman & Perundangan Islam
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Buka Sekolah Dengan Tanah Wakaf
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka.

Beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin pada sebelah pagi dan petang. Manakala, sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Seorang Ahli Politik & Pemimpin Yang Hebat
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh semua kaum kerana hujah-hujah beliau dapat mengangkat politik perkauman sehingga dapat melangkaui pertelingkahan di kalangan rakyat Malaysia dengan menunjukkan nilai-nilai agama Islam adalah konsep universal yang akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia” – Ahli Parlimen Batu, Tian Chua

Pendakwah Yang Petah Bercakap
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Aktif Dengan Pondok Bergerak
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Berkahwin Pada Usia 34 Tahun & Dikurniakan 10 Anak
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Gemar Bersolat Dalam Keadaan Gelap
Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya – Kembara Di Bumi Allah

Gemar Berqiamullail

Perkara ini diceritakan oleh seorang individu di laman blognya. Ketika itu dia dan kawan-kawan menyertai rombongan mengiringi TGNA ke Birmingham dan bermalam di Coventry.

Malam itu semua orang tidur dalam keadaan letih. Tanpa diduga, tidak lama menjelang subuh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggerak kami, memaklumkan yang beliau berqiamullail dan jika ada yang mahu bersama, beliau alu-alukan.

Semasa bersarapan, saya bertanya kepada Tuan Guru, bagaimana beliau boleh bangun berqiamullail walaupun berbeza waktu antara Malaysia dan UK. Adakah kerana jetlag, atau beliau tidak tidur sepanjang malam? Tuan Guru menjawab dengan lebih kurang maksudnya, “satu-satu benda tu, apabila kita dah suka, kita pergi mana pun dia ikut kita”. – Saifulislam.com

“Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji” – TGNA

Di dalam entri yang sama turut diselitkan ini:

Semasa beliau singgah di London, saya bertanya kepada Tuan Guru satu soalan yang sensitif. Saya tanya, “Kalau Tuan Guru tidak menjadi Menteri Besar atau ahli politik, apakah yang akan Tuan Guru lakukan barangkali?”

Tuan Guru menjawab, “Ambo suka mengaji. Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji. Tetapi mengaji dan politik payah nak buat bersama. Sepertinya kena memilih satu antara dua.”

Sumber : 



loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.