Header Ads

EKSKLUSIF..!! Artis Turut Kongsi Pengalaman dan Rasa Sedih Kematian Tuan Guru Nik Aziz




Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram milik selebriti tanah air pada Jumaat dipenuhi dengan mesej dan gambar bagi berkongsi kesedihan terhadap berita kematian Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza berkongsi gambar kenangan bersama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Foto Ihsan Instagram Siti Nurhaliza.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 9.45 malam pada Khamis.

Kebanyakan artis tempatan menyampaikan takziah dan simpati terhadap kehilangan bekas menteri besar Kelantan selama lebih dua dekad itu.

Malah ada di antara mereka turut berkongsi rasa kagum terhadap kepimpinan Allahyarham selama mentadbir negeri Kelantan.

Nik Aziz, 84, meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan selepas sekian lama menghidap kanser prostat.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Baharu kira-kira pukul 10.55 pagi pada Jumaat.

Pengacara Faizal Ismail menerusi Instagram miliknya berkongsi pengalaman bersama pemimpin terkenal itu apabila berpeluang menghubungi dan menemubual Allahyarham tanpa melakukan sebarang temu janji terlebih dahulu.

Kata Faizal, temubual yang dilakukan pada tahun 2010 itu pada awalnya hanya sekadar mencuba nasib dan dia terkejut apabila tidak sukar untuk bercakap dengan pemimpin terkenal berkenaan.

"Saya tidak pernah berpeluang untuk bersua dengan ulama tersohor ini namun memori paling indah ketika saya mencuba nasib menelefon Pejabat Menteri Besar Kelantan pada tahun 2010.

"Tanpa saya sangka saya berjaya bercakap dengan beliau untuk bertanyakan pandangan beliau tentang perlawanan bola sepak Piala Malaysia yang ketika itu Kelantan menentang Negeri Sembilan diperingkat akhir.

Faizal Ismail.
"Saya terharu kerana sebelum membuat panggilan tiada sebarang temu janji perlu dibuat untuk menghubungi beliau dan kini rakaman tersebut masih terdapat di YouTube dan ia kekal menjadi sejarah dan kenangan indah buat saya," katanya.

Dalam temubual itu Nik Aziz turut berkongsi kisah remajanya ketika bermain bola pada zaman Jepun selain kecederaan yang dialaminya akibat permainan itu.

Sementara itu, pelakon dan usahawan, Fizo Omar pula menerusi Instagram miliknya memberitahu sempat menziarahi Allahyarham ketika berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan tidak menyangka itu adalah kali terakhir dia bertemu dengan idolanya itu.

Jelas Fizo, dia akan sentiasa mengingati kata-kata semangat dan nasihat yang diberikan Nik Aziz kepadanya dan akan merindui pemimpin itu.- SK

Sumber : http://mychannelmedia.blogspot.com/



loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.