Ketahuilah Punca Penyakit Resdung Dan Cara Merawatnya Dengan Berkesan..



Hendak tahu apa punca berlakunya resdung dan cara rawatan? RESDUNG ialah sejenis penyakit hidung yang terjadi akibat radang pada membran sinus. Sinus ialah rongga dalam tulang muka yang mengandungi udara dan permukaannya diseliputi mukosa (kulit yang mengeluarkan mukus atau hingus). Banyak ubat berada di pasaran untuk mengatasi resdung pada masa kini tetapi anda dinasihatkan untuk melihat senarai produk yang diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum membeli.

Mukosa mengeluarkan hingus dalam keadaan biasa (fisiologikal) dan hingus ini mengalir keluar dari sinus melalui lubang kecil dinamakan ‘ostium’ ke dalam rongga hidung. Apabila ‘ostium’ tersumbat, hingus terkumpul dalam sinus dan keadaan ini mengundang kehadiran kuman yang akhirnya boleh membawa kepada terjadinya resdung.

Penyakit resdung – punca dan cara rawatan

Resdung boleh disebabkan virus, bakteria atau kulat (fungus). Semakin banyak kes resdung kulat dijumpai akhir-akhir ini, baik pada pesakit biasa atau mereka yang ada kompromi imuniti (ralat sistem pertahanan badan).

Penemuan Klinik Mayo pada 1999 mendapati, ada kulat pada 96 peratus pemeriksaan sampel hingus dari sinus pesakit sinusitis kronik. Ini bermakna ramai daripada pesakit sinusitis kronik mempunyai resdung kulat atau penyakit itu menjadi pemula kepada resdung kulat. Satu kumpulan lagi pesakit yang kerap mengidap resdung kulat ialah mereka yang ada polip hidung.

Bagaimana ia terjadi?

Ketika bernafas, setiap orang menghidu masuk ke dalam hidung berjuta spora fungus setiap hari (dianggarkan 57 juta spora sehari). Bagaimanapun, spora ini tidak dapat membiak dalam hidung atau paru-paru yang segar dan sihat.

Mukosa hidung dilengkapi sistem pertahanan tertentu untuk melawan fungus atau bakteria. Apabila berlaku ralat dalam sistem imuniti setempat atau umum, spora fungus dapat membiak sehingga menyebabkan resdung kulat.

Besar kemungkinan spora fungus tersedut ke dalam rongga sinus ketika bersin atau menghembus hingus dengan kuat. Secara tepat bagaimana proses ini terjadi tidak difahami sepenuhnya.

Apa kesannya kepada hidung dan badan?

Spora dalam rongga sinus akan membiak dan mula memberi kesan buruk kepada sinus. Kewujudan fungus membawa kepada beberapa reaksi kimia dan pemprosesan Major Basic Protein (MBP) yang berperanan membunuh fungus, tapi dalam masa sama memudaratkan mukosa dan membenarkan prolifirasi atau pembiakan bakteria.

Ada beberapa jenis sinusitis kulat, tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua entiti utama, iaitu:

1. Jenis yang menyerang struktur sekeliling (invasive). Ini lebih berbahaya. Satu entiti dipanggil fulminant fungal rhinosinusitis mampu merebak cepat hingga ke otak dan mengakibatkan kematian dalam masa singkat.

2. Jenis ini terjadi pada kes diabetes tidak terkawal dan pesakit kurang ketahanan badan. Penyakit jenis ini menyerang pembuluh darah.

3. Jenis yang tidak menyerang struktur sekeliling (non-invasive). Contohnya ialah mycetoma (bebola kulat), allergic fungal sinusitis.

Siapa yang boleh terkena jangkitan?

Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak tertumpu kepada mereka yang ada ralat imuniti umum, pesakit diabetis atau pesakit kronik saja.

Ia lebih membabitkan orang dewasa dan sangat jarang berlaku kepada kanak-kanak. Kerapkali pesakit adalah mereka yang diketahui ada resdung dan sudah melakukan beberapa pembedahan hidung sebelumnya, tetapi penyakitnya tetap berulang. Sinus yang paling kerap terbabit ialah sinus maksila.

Simptom kulat resdung

Pesakit mengalami simptom seperti sinusitis bakteria seperti:

Hidung berhingus, terutama ada benda hitam dalam hingus
Hidung tersumbat
Sakit kepala
Keletihan dan badan rasa kurang sihat
Batuk kronik
Selalunya pesakit juga ada sinusitis yang tidak baik dengan rawatan antibiotik bahkan surgeri; ada sinusitis sebelah (unilateral), mengalami kerosakan pada tulang sinus (dapat dilihat melalui ujian imbasan Computer Tomography (CT) sinus) dan pesakit pernah mengeluarkan hingus terlalu pekat atau mempunyai tompokan hitam atau menyerupai keju.

Pemeriksaan

Pesakit memerlukan pemeriksaan endoskopi hidung. Pemeriksaan mungkin menampakkan ketulan hitam, hingus sangat pekat dan polip. Kajian lain yang diperlukan untuk mengenalpasti penyakit ialah kultur kulat atau pemeriksaan histology cecair dari sinus.

Imbasan CT pula akan menunjukkan penemuan spesifik seperti kelompok putih (tumpat) atau pembabitan tulang sinus. Ujian ‘magnetic resonance imaging’ (MRI) pula dapat memberikan gambaran radiolojikal yang spesifik mengenai kewujudan penyakit.

Bagaimana ia dirawat?

Rawatan diberikan bergantung kepada kategori dan tahap penyakit. Misalnya bagi jenis ‘invasive’, rawatan segera diperlukan, termasuk pembedahan untuk membuang tisu terbabit, penggunaan ubat antikulat secara sistemik dan membetulkan sistem badan seperti tahap gula.

Dalam memberi rawatan, keadaan keseluruhan pesakit perlu dipertimbangkan. Bagi sinus yang ada bebola, fungus rawatannya ialah pembedahan sinus (termasuk secara endoskopik) tetapi ubat antifungus sistemik tidak diperlukan. Perlu ingat, ubat antifungal sistemik ada banyak kesan sampingan.

Bagaimana kesudahannya?

Oleh kerana penyakit resdung kulat ada pelbagai jenis, maka tahap kesudahan dan perkembangan penyakit ini juga berbeza. Tanpa rawatan, penyakit ini akan menyebabkan simptom disebut di atas seperti sakit muka, hidung berhingus, sakit kepala, hidung tersumbat dan badan terasa kurang sihat.

Setelah dirawat, sama ada dengan ubat atau pembedahan, penyakit boleh menjadi baik atau berkurangan. Bagi jenis bebola kulat, pembedahan selalunya memberi banyak kebaikan. Bagi jenis ‘invasive’, kesudahannya selalunya mendukacitakan.

Apa perlu anda lakukan?

Ramai pesakit resdung kulat tidak menyedari mereka ada penyakit itu. Jika anda ada simptom yang disebutkan di atas, anda perlu mendapatkan pemeriksaan segera daripada Pakar Telinga, Hidung dan Tekak. Rawatlah penyakit sebelum ia menjadi lebih teruk.

Oleh DR MOHAMAD HAMZAH – Penasihat Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu


loading...

Loading...

0 comment... add one now