Pengikut Uqasha Senrose Bertambah Lepas Buka Tudung


PUTRAJAYA, 20 November ― Pelakon Uqasha Senrose melihat keputusannya menanggalkan hijab empat bulan lalu tidak lagi menjadi isu apabila pengikut di media sosial semakin bertambah.

Uqasha, nama popular Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata pengikutnya di Instagram bertambah kepada dua juta pemilik akaun dan komen negatif juga semakin berkurangan.

“Saya gembira sekarang saya jadi diri sendiri. Saya sekarang buat apa yang saya suka.

“Pengikut saya di Instagram naik mendadak. Itulah, mereka kutuk-kutuk (saya), tetapi ikut. Sekarang dah sampai dua juta [pengikut di Instagram]. Dulu 1.2 juta saja.

“Yang bercakap banyak itulah yang ikut saya,” katanya kepada ProjekMMO sewaktu Anugerah Skrin 2016 pada Jumaat.

Pelakon drama “Tundukkan Playboy Itu” pada Ogos mengakui kembali kepada imej asal selepas tiga tahun memakai tudung.

Enggan menjadi hipokrit, Uqasha berkata dia tidak berfikir panjang ketika mula mengenakan hijab.

Keputusan Uqasha itu mendapat kecaman pengguna media sosial sehingga ruangan komen Instagram miliknya terpaksa ditutup.

“Dulu saya tutup ruangan komen sekejap sebab saya tak tahan dengan mulut haters. Jadi sekarang saya tak kisahlah orang nak cakap apa.

“Baik kita sekat mereka daripada kita sakit mental dan sakit hati bila baca.

“Sekarang sudah kurang yang membenci. Mereka boleh terima. Dah macam biasa balik dah,” katanya.

Uqasha, 23, berkata tawaran lakonan yang diterimanya masih sama walaupun kini lebih bebas tidak bertudung.
Katanya, menjadi harapan selepas bernaung di bawah MiG Pictures, lebih banyak tawaran lakonan dan watak yang diberi juga lebih mencabar.

“Saya nak berlakon cerita-cerita lama, sejarah dan menari sebab saya tak pernah buat benda itu.

“Kalau boleh hendak juga yang aksi,” katanya mendedahkan pernah mempelajari seni mempertahankan diri.-Malay Mail Online

0 comment... add one now