Mayat Budak 9 Tahun Dijumpai Tersangkut Dalam Saluran Paip


Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun ditemui mati tersangkut pada batang paip polivinil klorida (PVC) oleh penduduk kampung Desa Didingga Kecamatan Biau Gorontalo Utara, Indonesia.

Foto mangsa yang dikenali sebagai Riky Dehu dikongsi oleh pengguna laman Facebook Arsil Rahim pada 11 Disember lalu.

Menurut sebuah laman tempatan negara itu, Riky difahamkan bermain di sebuah saliran air milik syarikat Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM) yang belum dirasmikan sekitar jam 3 petang pada 10 Disember sebelum ditemui mati di tempat kejadian.

Tambah laman itu, mangsa yang menyangka saliran itu dalam, bertindak terjun ke dalamnya sebelum ditolak arus deras ke dalam batang paip tersebut yang menyebabkan mangsa terperangkap kelemasan.

Menerusi foto yang tersebar, sebahagian badan Riky dari paras kepala hingga paha terperangkap di dalam paip PVC tersebut.

Beberapa penduduk kampung bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa dengan membelah batang paip tersebut mengunakan alat pemotong PVC.

Jelas laman tempatan itu lagi, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut. 

0 comment... add one now