Header Ads

Pengendali kren tak kompeten punca kemalangan




KUALA LUMPUR - Pengendali kren tidak kompeten antara faktor yang dilihat menyumbang kepada kekerapan berlaku kemalangan di tapak pembinaan.  

Pensyarah Kanan Teknologi Bangunan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia Dr Mohd Zailan Sulieman berkata, terdapat pengendali kren yang tidak mengikuti Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan bagi pekerjaan binaan yang ditetapkan pihak berkuasa, diambil bekerja.

"Isu ini sering dibincangkan dalam seminar dan forum kerana kebanyakan hasil siasatan kemalangan di tapak pembinaan melibatkan kren yang dibentangkan menunjukkan ia berpunca daripada kecuaian pengendali tidak kompeten," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Mohd Zailan berkata, semua pekerja binaan yang memasuki tapak binaan bagi menjalankan tugas dikehendaki mengikuti Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Bagi Pekerja Binaan selaras Pekeliling Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya mereka perlu mengikuti Kursus Latihan Induksi dan Program Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mensyaratkan semua kontraktor utama melaksanakan Sistem Kad Hijau di tapak pembinaan.

Katanya, kren juga hendaklah diselenggara mengikut keperluan pengeluar dan diuji dari semasa ke semasa oleh individu yang kompeten sebelum digunakan di tapak pembinaan.  

"Selain itu, pengendali kren yang sakit tidak boleh dibenarkan mengendali kren dan tidak dibenarkan bekerja lebih dari empat jam tanpa rehat," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kemungkinan terdapat kontraktor yang mengambil pekerja tempatan atau asing secara tidak sah yang dilihat mendorong berlakunya kemalangan di tapak pembinaan melibatkan kren.

Katanya, sebahagian pekerja asing mungkin mempunyai sijil berkaitan di negara mereka tetapi tidak ada pihak yang dapat menentukan tahap latihan dan keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan jenis mesin dan cuaca di negara ini. 

"Walaupun JKKP menetapkan hanya rakyat tempatan boleh memiliki sijil kecekapan kren ada kemungkinan kontraktor mengambil pekerja secara tidak sah," katanya.

Beliau menyarankan pihak berkuasa perlu memastikan para kontraktor menggunakan khidmat pengendali kren bertauliah manakala pegawai bertugas di tapak pembinaan juga perlu memeriksa keadaan kren selamat digunakan.

Pada 25 Ogos lepas, seorang wanita maut selepas kereta yang sedang dipandunya tiba-tiba dihempap besi penyangkut kren yang terjatuh di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang di sini. 

Pada 17 Oktober pula seorang pegawai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) nyaris maut apabila besi pembinaan kondominium bersebelahan Wisma Bernama menghempap keretanya ketika hendak keluar dari Wisma Bernama. 

Pada 5 November lalu, sepasang suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebuah mesin pencerucuk besi yang tumbang ketika melalui kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bukit Raja, Klang, Selangor. 

Sebuah jejambat pejalan kaki dalam pembinaan berhampiran Pangsapuri Abdullah Hukum di Jalan Bangsar di sini runtuh, menyebabkan seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian pada 30 Nov. 

Terbaharu pada Isnin lepas, sebuah kren dilaporkan tumbang di tapak pembinaan, berhadapan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Damansara Perdana. Bagaimanapun tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu. - Bernama


loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.