Header Ads

Banjir Di Kelantan Luar Biasa, Luar Jangkaan - Mustapa




PASIR MAS: Banjir yang berlaku di Kelantan terutama di Rantau Panjang adalah luar biasa dan tidak dijangkakan, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata penilaian awal kerajaan pada 25 hingga 27 Dis lepas mendapati keadaan tidak begitu membimbangkan namun kini berubah sebaliknya.

"Ia berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas selain diburukkan dengan banjir yang melanda di Narathiwat, Thailand, ketika ini," katanya.

Mustapa bercakap kepada pemberita selepas melawat 110 mangsa daripada 47 keluarga di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di Kampung Tiang Chandi di sini, Selasa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata kerajaan akan menambah kemudahan tandas bergerak di pusat-pusat pemindahan agar kesihatan mangsa banjir terjamin.

Mustapa menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan terutama di kawasan Rantau Panjang untuk bermain air.

Katanya perbuatan tersebut hanya akan menyebabkan gangguan lalu lintas dan menjejaskan usaha menyelamatkan mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 5,245 orang daripada 1,733 keluarga pada pukul 5 petang tadi berbanding 4,208 orang daripada 1,452 keluarga pada tengah hari tadi, dan ia melibatkan enam jajahan - Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan Azmi Osman. - Sehinggit Media

Sumber: mStar



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.