Header Ads

'Kau yang bunuh Hanna!' - Saksi dakwa bayi 13 bulan ditekup sehingga lemas oleh suami pengasuh




GOMBAK, SELANGOR - 28 Disember 2016 lalu, seorang bayi perempuan berusia 13 bulan dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru. 

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini yang didedahkan oleh bapa saudara mangsa, Syedferdaus Syedmohammad, mangsa, Nur Hanna Nasuha binti Hafiz disyaki dibunuh di rumah pengasuh. 

Berikut adalah kronologi kejadian yang dikongsikan oleh beliau:

27 DISEMBER 2016

Pengasuh di alamat Kondo Laksamana Puri menghubungi Farah Husna Mohd Noh untuk mengambil anaknya kerana badannya sudah sejuk dan tidak bergerak. Bila ditanya kenapa tidak menghubungi ambulans atau bawa ke klinik berhampiran, pengasuh memberi alasan tiada kenderaan untuk berbuat demikian. 

Apabila ibu bapa mangsa telah datang, mereka mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun gagal sebelum dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang. 

Setibanya di hospital, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kes tersebut. 

28 DISEMBER 2016

Hasil laporan awal post mortem yang dijalankan menunjukkan mangsa meninggal akibat pneumonia dan tiada sebarang tanda fizikal untuk dikaitkan dengan dera, sementara menunggu laporan kimia. 

Untuk makluman, pengasuh dan suaminya tidak hadir semasa bedah siasat dilakukan, mahupun semasa pengebumian mangsa. Juga tiada sebarang rakaman percakapan yang diambil dari pengasuh. 

18 JANUARI 2017

Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan mengalami patah tangan di rumah pengasuh yang sama. Mangsa dibawa ke Hospital Selayang sebelum membuat laporan polis. 

Menurut Syedferdaus, tangan bayi berkenaan dipulas sehingga patah dan terkulai oleh suami pengasuh berkenaan.

20 JANUARI 2017 

Farah Husna Mohd Noh telah menerima panggilan dari seorang wanita yang mengajaknya berjumpa untuk bercakap mengenai kes kematian anaknya, Hanna. Farah dan suaminya telah pergi berjumpa dengan wanita berkenaan di sebuah restoran di Gombak. 

Menurut wanita itu, mangsa bukan meninggal semasa dalam tidur tetapi sebenarnya akibat perbuatan suami pengasuh (warganegara Bangladesh) yang telah menekup muka mangsa menggunakan tapak tangan sehingga lemas. Wanita yang mendakwa dirinya mengenali pengasuh berkenaan berkata, suspek bertindak demikian kerana berang mangsa sering menangis. 

Wanita itu juga mengatakan bahawa adiknya sendiri yang memberitahu kepadanya mengenai kejadian itu. Malah, dia juga seringkali mendengar perbualan pasangan itu semasa bergaduh di mana pengasuh berkenaan berkata, "Kau yang bunuh Hanna!" terhadap suaminya. 

Bagaimanapun, wanita itu meminta agar dirinya tidak dikaitkan dengan kes tersebut atas dasar hubungan keluarga. 

21 JANUARI 2017

Ibu bapa arwah Hanna membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak berhubung maklumat terbaru dari wanita yang mengenali pengasuh berkenaan. 

22 JANUARI 2017

Pengasuh berkenaan ditangkap oleh sepasukan polis berhubung kes bayi patah tangan. Bagaimanapun, suami pengasuh telah memberikan alasan berada di Johor kerana mengikut lori milik abang iparnya untuk membuat penghantaran. Namun, suspek telah menghilangkan diri semasa menurunkan barang di Segamat. 

24 JANUARI 2017

Saksi memaklumkan kepada bapa Hanna bahawa suspek sebenarnya tidak pergi ke Johor. Lalu bapa Hanna meminta untuk bertemu dengan abang ipar suspsk yang kononnya membawa suspek ke Johor, bagi mendapatkan lokasi terakhir suspek menghilangkan diri. 

Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan bahawa suspek telah datang menyerah diri di IPD Gombak, lewat petang semalam. 


Menurut Syedferdaus, sebelum anak saudaranya itu meninggal dunia, dia dihantar ke rumah pengasuh berkenaan dalam keadaan baik, bukannya berada dalam keadaan lemah. 

Mengulas mengenai maklumat yang diberi oleh saksi, Syedferdaus berkata, mereka sebenarnya sudah redha dengan pemergian mangsa kerana jangkitan kuman di paru-paru. Namun tidak menyangka akan dihubungi oleh saksi. 

Justeru ahli keluarga mangsa mendesak pihak polis membuka semula kertas siasatan bagi menuntut keadilan yang disyaki dibunuh oleh suami pengasuh berkenaan, bukannya mati terkejut.

Sumber: The Reporter



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.