Harga Minyak Dijangka Naik Lagi


SEKIRANYA berdasarkan perkembangan ekonomi ketika ini, harga runcit petrol dan diesel dijangka terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan meramalkan, dua punca utama kenaikan harga minyak di Malaysia ialah pertama, kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan kedua, kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Kerajaan kita telah menetapkan harga runcit minyak petrol dan diesel bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia, manakala harga minyak mentah adalah dikira dengan dolar Amerika Syarikat.

"Oleh itu, saya nasihatkan pengguna agar bersiap sedia menghadapi situasi yang lebih mencabar lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang," kata Tia Guan yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group.

Beliau berharap, kerajaan lebih bersikap prihatin dengan masalah rakyat yang dibebani dengan kenaikan harga minyak ini.

"Negara kita adalah negara pengeluar minyak. Kerajaan perlu menggunakan sumber pendapatan daripada hasil minyak mentah ini untuk menyediakan pelbagai infrastruktur, seperti sekolah dan jalan raya untuk kemudahan rakyat jelata. 

"Ketika kebanyakan harga barang telah naik, kerajaan seboleh-bolehnya perlu menyediakan subsidi ataupun bantuan kewangan agar dapat mengurangkan bebanan rakyat, khasnya golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Sin Chew Jit Poh.

Sementara itu, kadar bayaran untuk pengangkutan lori dijangka dinaikkan tidak lama lagi susulan kenaikan diesel sebanyak 20 sen seliter mulai 1 Februari lalu.

Persatuan pengusaha lori difahamkan terpaksa menaikkan kadar bayaran memandangkan penggunaan diesel merupakan 20 peratus daripada kos operasi mereka.

Sumber: Sinar Harian

0 comment... add one now