Header Ads

Penyakit Masalah Tidur Berdengkur Boleh Membawa Maut..



KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu memandang serius penyakit masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur yang memberi kesan kepada sistem tubuh, sehingga mendedahkan kepada risiko penyakit berbahaya lain atau maut.

Konsultan Otorinolaringologi Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Muhamad Noorhisyam Salleh berkata, selain membuat pemeriksaan bagi mengesan penyakit konvensional, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu diambil perhatian.

"Ketika membuat pemeriksaan kesihatan kita selalunya fokus untuk memeriksa gula, kolestrol dan lain-lain rutin biasa, tetapi bagi mereka tidur berdengkur, pemeriksaan perlu bagi mengesan punca penyakit tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Muhamad Noorhisyam berkata, faktor perubahan gaya hidup rakyat Malaysia sekarang ini menyebabkan trend untuk mereka mendapat penyakit OSA adalah tinggi selain faktor fizikal.

"Gaya hidup tidak sihat seperti tabiat pemakanan yang menyebabkan obesiti, tabiat merokok, kurang bersenam, tidak cukup tidur akibat rutin hidup yang tidak teratur adalah antara faktor menyebabkan OSA," katanya.

OSA yang tidak dirawat boleh mendedahkan pesakit kepada penyakit Seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

"OSA adalah apabila saluran udara terhalang separuh atau sepenuhnya sewaktu tidur yang mengakibatkan kekurangan oksigen dalam badan dan peningkatan kadar karbon dioksida, menyebabkan tidur terganggu.

"Semasa tidur organ menjalankan fungsi sepatutnya termasuk metabolisme badan akan berfungsi memecahkan glukos dalam badan. Jika tidur terganggu ia akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain,"katanya.

Lebih menakutkan, Dr Muhamad Noorhisyam berkata, OSA boleh membawa maut sewaktu tidur apabila seorang pengidap OSA mungkin tidak dapat menyedut oksigen secukupnya ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihat membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal.

Katanya pemeriksaan dan ujian tidur akan dijalankan untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dilakukan atau hanya menggunakan mesin 'continuous positive airway pressure (CPAP)' yang dipakai semasa tidur.

"Jika terdapat punca lain seperti tonsil ia boleh dirawat dengan pembedahan," katanya. - Bernama



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.