Header Ads

"Pesan Ibu Jangan Kita Adik Beradik Dipisahkan Oleh Harta Benda Dan Wang Ringgit"




Sejak almarhum ayah menemui Pencipta, amanah ketua keluarga digalas oleh aku. Mama yang masih sedih kehilangan suami, memberi sepenuh kepercayaan mengurus keluarga. Aku asalnya seorang yang introvet berbanding adik aku, Fadzilah yang extrovet.

Sepanjang seminggu kami berada di rumah kakak ipar Mama, aku sembunyikan luluh hati melihat pengorbanan Mama dan nasib adik-adik yang masih kecil. Setiap kali sebelum dan selepas kerja, Mama mesti berada di dapur. Adik-adik rasa tertekan dan ketakutan.

“Bilakah masanya Mama berehat?”
“Bagaimana keadaan mereka sewaktu aku bekerja?”
“Mengapa mereka seakan sembunyikan sesuatu?”

Pilihan.

Tawaran menjaga Mama dan adik-adik ditolak cara baik. Melihat tempoh seminggu bagaimana layanan Mama dan adik-adik, mengukuhkan keputusan. Keluarga sebelah ayah tidak puas hati. Mujurlah abang sulong Mama, menghormati keputusan kami.

Selang 90 hari, Allah telah mengambil Fadzilah dari kami selama-lamanya. Yang memilukan, dia pergi di hadapan mata adik bongsu yang berusia 10 tahun. Kisahnya turut tersiar di surat khabar. Terperanjat dengan khabar duka, membaca fakta berita yang disiarkan bertambah luka.

Imbasan Tragedi.

Fadzilah berhasrat untuk menghabiskan cuti ke Terengganu. Pulang bercuti, dia bakal memulakan tugas di cawangan baru kerana tawaran naik pangkat. Dia pesan kepada aku agar rahsiakan daripada adik-adik lain. Aku setuju. Spontan aku katakan, tangguhkan percutian. Hasilnya, dia keberatan.

Fadzilah meyakinkan aku bahawa dia tidak pergi sendirian. Beberapa buah kereta akan konvoi bersama. Sampai masa, bayang mereka pun tiada. Agaknya, apa Mama dan aku rasa?

Sejujurnya, aku berat hati melepaskannya bercuti. Lalu, aku pujuk untuk kali kedua. Sayangnya, masih tidak berganjak. Lantas, aku cadangkan adik bongsu lelaki menemaninya. Mama mengiringi Fadzilah ke kereta.

Aku masih tidak serik lalu cuba menghalangnya kali ketiga. Dia nekad mahu bercuti juga. Waktu bersalam hati aku berikrar, “Jika lepas ini ada apa-apa yang berlaku, aku tidak mahu campur tangan.”

15 Jun 2001.

Jumaat adalah hari yang barakah. Aku tidak bekerja. Kebetulan mengulangkaji untuk peperiksaan Semester ke-3. Mama sedang membakar ikan untuk hidangan tengahari.

Telefon berdering. Aku yang sambut. Dihujung talian, suaranya agak tegas. Bersungguh-sungguh mahu bercakap dengan Mama. Aku akur.

Apakah yang terjadi?

Tiba-tiba Mama meraung dan menangis seolah bayi kecil. Aku cuba bertahan dan mengambil semula gagang telefon untuk mendengar sendiri. Jelas dan lancar. Aku beranikan diri bertanya Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu untuk bercakap dengan adik bongsu. Sempat aku titipkan, “Bila saudara-mara tanya apa-apa soalan, diamkan diri sahaja. Jaga solat fardu, ya.”

Mendengar perkhabaran itu, tangisan Mama tidak terkawal. Aku perlu bertahan demi menghadapi ujian hebat ini. Adik-beradik Mama serta saudara-mara memenuhi ruang rumah setelah dimaklumkan. Mereka rancak membincangkan bagaimana mahu membawa jenazah Fadzilah pulang.

Mama tidak mampu membuat keputusan. Aku yang terpaksa beri cadangan bagi pihak Mama. Semahu-mahunya Mama merayu untuk pergi menuntut jenazah di Hospital Hulu Terengganu. “Boleh Mama, tapi janji dengan kami, kawal perasaan.”

Malam itu, Mama ditemani abang-abangnya, ayah Fatin dan kakak iparnya. Mereka menaiki sebuah kereta. Aku dan saudara-mara berkumpul di rumah kakak ipar Mama. Ya, rumah yang sama sewaktu pengurusan jenazah ayah.

Keesokan harinya, jenazah Fadzilah tiba. Pagi Sabtu itu sekali lagi menyaksikan ahli keluarga aku diuji kematian orang tersayang. Adik bongsu diserbu. Ibarat wira sukan yang mahu diwawancara bagi mendengar cerita sebenar. Syukur, dia ingat pesan aku.

Bergilir-gilir ahli keluarga Mama yang terapat, cuba tenangkan Mama. Aku membantu urusan jenazah hingga selesai. Sepanjang tempoh tersebut, aku bertahan. Kering air mata. Cuba kawal diri biarpun pemergian ayah tercinta masih terasa.

Keadaan sama berulang sewaktu pemergian ayah. Tempoh seminggu bagaimana keadaan Mama dan perubahan adik-adik buat aku bertambah bimbang. Sayu melihat sendiri ketabahan Mama yang telah kematian suami tercinta dan anak kedua kesayangannya. Aku hampir silap membuat percaturan. Syukurlah, Allah tempat aku bergantung harapan.

Malam tahlil terakhir, aku beranikan diri berbincang tentang hala tuju keluarga aku. Kami enggan menjadi beban mana-mana pihak lalu memutuskan untuk hidup berdikari. Persetujuan kami tidak disenangi kakak ipar Mama dan suaminya.

Demi kebaikan keluarga, kami nekad setelah aku meyakinkan kedua-dua belah pihak. Semua tuntutan dilakukan bersama Mama. Kami dibantu oleh kakak ipar Mama dan suaminya. Aku mulai faham erti mendahulukan keperluan orang lain daripada diri sendiri, pentingnya kasih sayang dan berkorban menjaga Mama serta membesarkan adik-adik.

Restu Mama.

Mulai detik itu, aku kerap menghubungi Mama tercinta. Kami menjadi rapat. Sebelum ini, ayah menjadi tempat aku berkongsi suka duka tanpa selindung. Manakala Fadzilah rapat dengan Mama pula. Aku mulai berubah dari introvert menjadi extrovet. Aku timba ilmu baharu tentang tuntutan, selok-belok jual beli kereta dan bagaimana mengurus keluarga di usia awal 20-an.

Tanpa rasa bersalah, segelintir anak buah dan ahli keluarga minta wang dengan Mama. Aku fikir, “Bukankah Mama dan adik-adik sepatutnya dibantu?” Tidak cukup memeras Mama, adik-adik aku dicucuknya untuk tinggal dan bersekolah di rumah wakaf. Aku cuba rasional biarpun Mama terganggu. Aku pujuk Mama dan adik-adik. Syukurlah, kami muafakat.

Sejak itu, kami banyak bincang bersama. Apapun keputusan, Mama serahkan di tangan aku. Mama sendiri yang mahu adik-adik rujuk dengan aku dalam semua urusan. Barangkali, Mama trauma dengan apa yang menimpa Fadzilah. “Entahlah, Mama pun tidak tahu. Cuba tanya Along.” Skrip Mama yang masih segar di ingatan.

Didikan Agama.

Pelan awal aku ialah pastikan adik-adik ada pegangan agama. Maka, tiga dari lima orang adik aku menyertai Kem Jati Diri anjuran syarikat aku bekerja. Adik lelaki aku dilantik menjadi Penghulu. Syahdu. Apa tidaknya?

Kem yang adik-adik aku sertai, ada slot bersama Ustaz Bahasa Arab aku. Bermula detik itu, mereka komited menyambung pengajian. Mana yang kurang, digilap hingga masing-masing mendapat pendidikan terbaik. Syukur, adik-adik pernah tersenarai Anugerah Pengarah dan Dekan termasuklah dinobatkan sebagai fasilitator terbaik.

La hawla wala quwata illa billah. Aku pernah berjanji dengan Mama. Jika ada di kalangan adik-adik yang lebih hebat pendidikannya dari aku, akulah orang pertama yang menyokong dan mendoakan. Asalkan adik-adik aku menjadi manusiawi dunia akhirat.

Cuma, “Jangan kita dipisahkan oleh harta-benda, pangkat, wang ringgit, kerjaya atau keluarga bila sudah ada haluan sendiri.”



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.