Header Ads

'ADMIN WHATSAPP' BOLEH DIPENJARA, DENDA SEHINGGA RM50,000 ATAU PENJARA 2 TAHUN..



KUALA LUMPUR: Admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit. 

Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). "Pentadbir boleh dipanggil untuk membantu siasatan sama ada tindakan diambil terhadap individu terbabit bergantung kepada fakta dan keterangan bagi setiap kes.

"Tidak kira maklumat palsu, tidak sahih atau bertujuan memfitnah, pentadbir bertanggungjawab terhadap ahlinya. Sekiranya terbukti individu (pentadbir) terbabit secara langsung atau membiarkan maklumat palsu itu disebar secara sengaja, dia akan dikenakan tindakan," katanya kepada BH, semalam. Jailani berkata, pentadbir kumpulan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab mengawal ahlinya supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan seharusnya menjadi gate keeper menapis berita tidak sahih sebelum berkongsi dalam kumpulan aplikasi berkenaan atau disebarkan di medium media sosial lain. 

Laksana segera Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata cadangan mengenakan hukuman terhadap pentadbir perlu dilaksanakan segera. Katanya, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat malah boleh menggugat keamanan negara. 

"Di India, kerajaan negara itu memperkenalkan undang-undang baharu yang mana pentadbir kumpulan WhatsApp boleh dihukum penjara sekiranya ahli kumpulan terbabit menyebarkan berita palsu. "Walaupun yang menyebarkan berita itu adalah daripada ahli kumpulan terbabit, namun pentadbir yang akan bertanggungjawab menerima hukuman kerana dia tidak menapis dan memadam terlebih dahulu berita palsu daripada terus disebarkan," katanya. Mohd Yusof bagaimanapun berkata, hukuman yang bakal dikenakan terhadap pentadbir terbabit tidak seharusnya terlalu berat sebaliknya diberi amaran untuk kesalahan pertama. 

Katanya, banyak pendekatan lain boleh diambil untuk memantau penyebaran maklumat palsu seperti 

Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Jenayah Komputer 1957 dan Kanun Keseksaan. 

INFO: Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah - Hukuman penjara 2 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. 

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu - Denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. 

Akta Hasutan 1948 - Penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya. Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 - Penjara mandatori antara satu hingga 7 tahun.

Sumber: Berita Harian



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.