Header Ads

Isteri Kedua Bukan PERAMPAS Tapi Takdir! Setuju Atau Tidak, Baca Fakta Ini



Soal jodoh dan pertemuan itu adalah rahsia Allah. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, berusaha dan berdoa. Semua orang mengimpikan untuk bertemu jodoh dengan pasangan yang mencintainya sepenuh hati dan dapat menjaganya seumur hidup. 

Sebagai wanita, pasti mendambakan lelaki yang masih bujang sebagai pasangan. Tidak ada yang memasang angan untuk menjadikan suami orang sebagai calon suami bukan?

Walau bagaimana pun, takdir menentukan segalanya. Kita tak mampu melawan takdir yang telah tersurat. Bergelar isteri kedua, ketiga mahu pun keempat, pelbagai cabaran yang perlu ditempuh pada masa hadapan.

Isteri kedua, selalunya lebih muda dan cantik berbanding isteri tua. Sebab itu orang beranggapan pernikahan itu disebabkan wanita itu ingin mengejar harta bukan kerana cinta.

Poligami tidak dilarang dalam Islam namun perempuan cukup sensitif tentang perkara ini. Masyarakat di negara ini juga memandang serong pada wanita yang sanggup berpoligami. Sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Kata mereka, wanita itu kejam, sanggup melukakan kaum sejenis mereka. Perampas kebahagiaan wanita lain.

Namun, tidaklah ada yang terfikir apa yang sebenarnya terjadi di sebalik setiap tohmahan yang dilemparkan kepada wanita yang bergelar isteri kedua? Mereka dicop sebagai mata duitan sedangkan mungkin hati mereka benar-benar cinta kepada lelaki tersebut?

Isteri kedua berkompromilah dengan isteri pertama

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Hariyati Ariffin, masyarakat selalu beranggapan wanita yang menjadi isteri kedua/isteri muda ini wanita yang tak bagus akhlaknya, perampas kebahagiaan orang lain. Dalam hal ini, kita boleh lihat perkara ini dari dua sudut berbeza iaitu sudut positif dan sudut negatif.

“Ada wanita yang sanggup menjadi isteri kedua untuk membantu suami menjaga isteri pertama yang mungkin sakit. Jika begini, wanita ini tidak sepatutnya digelar perampas. Sebaliknya melakukan pengorbanan besar kerana sanggup membantu suami untuk menjaga isteri pertama. Anak-anak dan rumah tangga.

“Dari sudut negatifnya, wanita itu mungkin berkahwin dengan suaminya yang jauh lebih berusia adalah disebabkan tarikan material semata-mata. Sanggup mengahwini lelaki yang jauh lebih tua daripada mereka, yang sudah layak dipanggil ayah. Ada juga isteri kedua yang ‘tidak sedar diri’ dan berlebih-lebih sehingga memberikan kata dua kepada suami supaya ceraikan isteri pertama walau pun isteri pertama rela dimadukan. Kalau kes macam ini, selayaknya dia digelar perampas.” Ujar Hariyati memulakan bicara.

“Tak dinafikan, mungkin ada isteri kedua yang sanggup berkongsi kasih kerana benar-benar sayang pada lelaki tersebut. Mereka jujur dan setia dengan suami mereka walau pelbagai cabaran yang mereka terpaksa lalui. Namun bagi saya, mungkin 20 peratus sahaja dalam kategori ini. Manakala 80 peratus adalah disebabkan oleh faktor kebendaan dan kestabilan hidup.

Dilema Isteri Kedua

Menyentuh tentang dilema yang dihadapi oleh isteri kedua, menurut Hariyati, kedua-dua isteri ada dilema masing-masing. “Bagi isteri pertama, lebih kepada penderaan mental. Dahulu tidak perlu berbahagi kasih tapi kini terpaksa berkongsi kasih dengan wanita lain. Dahulu dialah segala-galanya bagi suami tapi kini tidak lagi.

“Begitu juga dengan isteri kedua. Ada isteri pertama yang sangat dominan dan menguasai suami hingga suami tidak berlaku adil. Suami berkeinginan hendak berkahwin tetapi takut dengan isteri pertama. Mungkin faktor kebendaan, misalnya isteri pertama berharta. Jadi sebagai alternatif terpaksa berkahwin secara rahsia. Sudah punya anak pun terpaksa dirahsiakan perkahwinan mereka. Dalam hal ini, satu penganiayaan kepada isteri kedua.

“Suami perlu bersikap adil dan jangan melebihkan salah seorang. Ada suami yang kedekut dengan isteri pertama, namun dengan isteri muda, sanggup dibelikan apa saja. Itu tidak adil dan menjejaskan keharmonian rumah tangga. Yang tua, yang muda mesti dilayan sama adil.

Peranan Isteri Kedua

“Sebagai isteri kedua, perlu bijak memainkan peranan. Perlu pandai mengambil hati dan berbaik-baik dengan isteri pertama. Perlu berkompromi dan bertolak ansur. Ini juga adalah kunci keharmonian rumah tangga. Jika dapat berhubung baik dengan isteri pertama, tidak akan timbul apa-apa masalah lagi. Namun ada juga suami yang sengaja tidak mahu isteri-isteri mereka berbaik di antara satu sama lain kerana ada agenda yang tersembunyi. Jika isteri-isteri berbaik, mereka takut isteri-isteri akan berkomplot untuk mengawal pergerakannya pula.



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.