Header Ads

Saya Bukan Batu Api Dan Saya Tak Peduli Apa Orang Cakap Tentang Tindakan Saya - Zed Zaidi Jawab Tuduhan Netizen




PETALING JAYA: Langkah aktor Zed Zaidi membuat laporan polis dan menuntut beberapa selebriti dari Singapura dilarang memasuki negara ini membawa padah selepas tindakan itu mengundang kemarahan netizen. 

Zed atau Rozaidi Abdul Jamil didakwa mempunyai agenda tertentu apabila dia enggan menerima permohonan maaf Najip Ali mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun maaf itu dibuat secara terbuka oleh Najip pertengahan minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Zed, tindakannya itu atas kapasiti kedudukannya sebagai Presiden, Persatuan Seniman Malaysia dibuat secara profesional bagi mempertahankan maruah negara.

Najip Ali mengemukakan permohonan maaf kepada Perdana Menteri pada 5 April lalu.

"Saya bukan batu api dan saya tak peduli apa orang cakap tentang tindakan saya yang mewakili Seniman. Orang mahu saya matang dalam isu ini tapi persoalannya adakah mereka melihat isu yang wujud ini secara profesional?

"Isu Najip dan Mediacorp telah meminta maaf itu sudah jelas. Tapi apa yang kami persoalkan ialah tahap profesionalisme selebriti lain yang turut terlibat mempersendakan Perdana Menteri kita. Kenapa mereka tidak mohon maaf?" katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Zed mengulas mengenai tuduhan kononnya dia sengaja memperbesarkan isu berkenaan sungguhpun Najip sudah berhadapan 'tindakan' apabila digugurkan sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) terbitan Astro.

Tempat Najip itu digantikan oleh Datuk Aznil Nawawi.

Tindakan Zed itu dikecam oleh netizen yang dilihat seperti mahu 'mengipas' pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Tambah Zed, dia tidak berniat untuk bermusuhan dengan rakan artis dari negara luar sebaliknya mahu mereka menghormati budaya dan peraturan jika ingin mencari rezeki di Malaysia.

"Saya tak ada masalah dengan dia dan bukan nak cari gaduh dengan Najip Ali. Tapi dia perlu tahu cara nak selesaikan isu ini dengan baik. Dia sudah buat salah, jadi seharusnya dia hubungi saya sebagai Presiden Seniman.

"Dengan sedikit perbincangan saya yakin isu ini boleh diselesaikan jika dia berhubung dengan saya," katanya.

Zed Zaidi (tengah) bersama rakan artis ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 7 April lalu.

Sementara itu ditanya sama ada tindakannya mempertahankan Perdana Menteri dibuat bermotifkan kepentingan politik kerana dia turut mempunyai jawatan dalam parti pemerintah, Zed segera menafikannya.

Jelas Zed, segala kritikan dan kenyataan yang dibuat dalam isu ini adalah mewakili Seniman.

"Tolong jangan campur aduk peranan saya dalam pertubuhan lain. Saya tak berselindung di sebalik jawatan Presiden Seniman untuk meraih sokongan politik.

"Saya terlibat dengan banyak pertubuhan dan NGO. Memandangkan isu ini berkaitan dunia hiburan, jadi semua tindakan saya adalah mewakili Seniman, tiada kaitan dengan politik," katanya.

Sumber: mStar Online



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.