Header Ads

Banyak Produk Yang Gunakan Nama MELAYU Dan ISLAM Semata-Mata Untuk Melariskan Jualan..



KUALA LUMPUR 30 Mei - Lebih 40 aduan diterima oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai produk dan jenama yang menggunakan nama Melayu atau Islam untuk melariskan barangan mereka.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kebanyakan istilah yang digunakan itu membawa kekeliruan kepada pengguna kerana status jenama produk berkenaan diragui.

Berikutan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) untuk mencari kaedah baharu dalam menangani isu tersebut.

“Mungkin pihak yang bertanggungjawab boleh mengeluarkan arahan kepada pengeluar produk menggunakan pengkelasan atau label untuk spesifikasikan produk sama ada ia dikeluarkan oleh syarikat Muslim atau tidak.

“Jadi, jika status produk tersebut sudah diketahui, ia terpulang kepada pengguna pula sama ada untuk membeli barangan tersebut atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Nadzim, penggunaan jenama produk tersebut juga tidak sejajar dengan aspek perbahasaan halal yang tertakluk pada Akta Perihal Dagangan.

“Dalam aspek ini, jenama produk seharusnya tidak menjurus kepada membayangkan bahawa produk itu halal.

“Status jenama produk seharusnya diperjelaskan supaya tidak memberi maksud yang tidak benar,” ujarnya.

Sehubungan itu, PPIM juga akan membuat semakan dengan SSM untuk memberi maklumat yang benar mengenai produk yang menimbulkan kekeliruan kepada para pengguna.

“Sesetengah pengguna Islam amat prihatin terhadap apa yang mereka makan.

“Jadi, sebarang aduan yang diterima mengenai kekeliruan status produk atau jenama akan terus dirujuk kepada SSM untuk semakan,” ujarnya. 

Sumber: UTUSAN ONLINE



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.