Header Ads

Berpisah Untuk Kahwin Kekasih Lama Semakin Menjadi Trend Buat Pasangan Zaman Sekarang..




KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan. 

Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh, berkata trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun. "Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus. 

"Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal. "Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. 

Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam. 

Katanya, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam iaitu apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp. "Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab. 

"Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya. 

Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.

Sumber: Berita Harian Online



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.