Header Ads

'Dah Lama Saya Simpan Soalan Itu Untuk Ditanya PM Najib Razak' - David Teo



"SEBENARNYA sudah lama saya simpan soalan ini (soalan yang hendak ditanya dalam dialog TN50) dan ingin bertanya secara berdepan Perdana Menteri.

“Tapi, tidak kesampaian kerana insiden itu. Sedikit sebanyak ia adalah cadangan untuk menambah baik program TN50,” kata penerbit filem David Teo.

Bagaimanapun, apabila ditanya apakah soalan yang ingin ditanyakan itu, David berkata, beliau tidak bersedia berkongsinya secara terperinci buat masa ini.

Tapi, David berkata: “Ia (insiden) perkara paling memalukan saya sejak terbabit dalam industri hiburan tempatan.”

Beliau berkata demikian merujuk kepada insiden dirinya ditampar pelawak dan pelakon, Sulaiman Yassin atau Mat Over, ketika program Dialog Tranformasi Nasional atau TN50 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama penggiat seni di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

David ketika dihubungi berkata, beliau tidak berhajat memanjangkan lagi isu itu dan berharap insiden seperti itu tidak berulang.

“Ketika bersalaman dengan Perdana Menteri selepas kejadian itu, saya meminta maaf dengannya walaupun kekecohan itu bukan dimulakan oleh saya,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, David turut menafikan dia bersikap biadap di majlis itu seperti didakwa.

"Saya difahamkan ia adalah majlis santai dan tidak ada protokol. Saya juga bersuara kerana mewakili persatuan artis veteran yang duduk di belakang dan suara mereka tidak dapat didengar Rosyam," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berharap insiden membabitkan David dan Mat Over tidak lagi diperbesarkan.

"David sendiri sudah memaafkan Mat Over dan mereka juga sudah berdamai pada malam itu.

"Insiden itu berlaku cuma salah faham. Sepanjang saya mengenali David, cara dia bercakap dalam majlis membabitkan karyawan seni memang lantang dan itu adalah caranya," katanya.

Freddie berkata, dia berharap insiden itu tidak diperbesarkan lagi.

“Lebih baik penggiat seni bersatu untuk mencapai matlamat TN50 dan sama-sama membangunkan industri seni," katanya.

Sumber: Harian Metro



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.