Header Ads

Kerana Tanah Pusaka Adik Sanggup Bunuh Abang Sendiri..




PERMATANG PAUH 14 Mei - Seorang adik tidak menyangka hubungan dingin dua abang­nya yang kerap bergaduh sejak mereka kecil berakhir dengan salah seorang daripada mereka maut selepas bergelut sesama sendiri.

Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua abangnya yang tinggal berjiran di Kampung Samagagah di sini sering bertelagah dan kejadian itu berulang lagi baru-baru ini.

“Salah seorang daripada mereka kerap melakukan provokasi termasuk membuat bising di hadapan rumah. Saya tidak sangka pergaduhan pagi ini melarat sehingga abang saya yang berusia 59 tahun terkorban,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, menurut sumber polis, perebutan harta pusaka melibatkan pembahagian tanah menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

Dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi ini, mangsa, Lim Poh Hau, ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azahan Abd. Hamid berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan awal me­nemui kesan kecederaan disyaki akibat hentakan benda tumpul di bahagian belakang kepala mangsa.

“Selain itu, mangsa juga meng­alami kecederaan pada bahagian lutut serta kesan luka pada jari kaki kanan,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Nik Ros Azahan, polis menahan adik mang­sa yang berusia 48 tahun bagi membantu siasatan kes ber­kenaan manakala mayat mangsa yang mempunyai lima rekod jenayah dan lima rekod berkaitan kes dadah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Ujarnya, suspek turut me­ngalami kecederaan pada bahagian betis kiri.

“Suspek mengaku bertindak menyembur alat pemadam api ke arah muka abangnya ketika mereka bergelut kerana geram dengan tindakan mangsa melanggarnya dengan motosikal,” katanya.

Kes itu katanya, disiasat me­ngikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.

Sumber: Utusan Malaysia



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.