Header Ads

Kes Langgar 8 Remaja Berbasikal Di Johor Ditangguh..



MAHKAMAH Majistret Trafik Johor Bahru hari ini menangguhkan kes jurujual wanita yang didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal Februari lalu, pada 15 Jun ini untuk sebutan akhir kes dan penetapan tarikh bicara.

Majistret Siti Hajar Ali menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, Sam Ka Ting, untuk meneliti dokumen yang diserahkan pendakwaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali memaklumkan semua dokumen yang diperlukan membabitkan kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Beliau juga memaklumkan pihak pendakwaan mencadangkan 39 saksi untuk dipanggil dalam prosiding perbicaraan kelak.

Bagaimanapun, peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon yang mewakili wanita terbabit berkata, pihaknya sudah menerima dokumen yang diserahkan pihak pendakwaan, namun memerlukan masa untuk menelitinya memandangkan membabitkan jumlah dokumen yang banyak.

Tertuduh turut diwakili peguam Faizal Mokhtar.

Pada 28 Mac lalu, Sam, 22, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian lapan remaja.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro


loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.