Header Ads

5 Remaja Buli Nhaveen Hadapi Tuduhan Membunuh Minggu Depan




GEORGE TOWN – Lima remaja lelaki yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes buli T. Nhaveen, 18, dijangka didakwa atas tuduhan membunuh minggu depan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, kes itu yang sebelum ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh telah ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh ekoran kematian mangsa petang semalam.

Ujar beliau, kertas siasatan mengenai kes tersebut sudah siap dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

“Suspek kes ini mungkin akan didakwa Isnin ini dan kita juga telah merekod keterangan seramai 15 saksi termasuk doktor yang merawat mangsa sekali gus yakin kes ini dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Dalam majlis itu, bekas Ketua Perhubungan Antarabangsa dan Urusetia Kementerian Dalam Negeri (Pentadbiran) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd. Anil Shah Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri baharu.

Nhaveen yang menjadi mangsa buli sekumpulan remaja lelaki pada awal pagi Sabtu lalu di Jalan Kaki Bukit, Glugor di sini meninggal dunia petang semalam selepas hampir seminggu tidak sedarkan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Selain mengalami kecederaan parah akibat dipercayai dipukul menggunakan topi kaledar, Nhaveen turut mengalami kesan koyak pada dubur akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Sebelum ini, kelima-lima suspek remaja berusia antara 17 dan 18 tahun itu ditahan reman di bawah Seksyen 147/385 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan memeras ugut dua mangsa lelaki berusia 18 tahun serta 19 tahun.

Dalam pada itu, jasad mangsa buli, T. Nhaveen, 18, selamat disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Batu Gantung, di sini pagi ini dengan dihadiri lebih 1,000 orang.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa dari Jabatan Perubatan Forensik HPP ke krematorium itu selepas proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Sumber: MalaysiaGazette



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.