Header Ads

7 Negara, Qatar Putus Hubungan Didakwa Melindungi Sejumlah Pengganas, Kumpulan Pelampau




RIYADH 5 Jun - Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Yemen hari ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, sekali gus menggugat kesatuan negara-negara Teluk itu yang telah berlangsung selama 36 tahun.

Perkembangan terkini, Libya dan Maldives turut sama mengikut keputusan negara-negara ber­kenaan.

Agensi Saudi Press melaporkan, tindakan itu dilakukan bagi ‘melindungi keselamatan negara daripada bahaya keganasan dan pelampau’ malah Riyadh turut me­mutuskan hubungan darat dan laut antara kedua-dua negara berkenaan.

Qatar merupakan negara yang menempatkan pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) terbesar di rantau itu dan mempunyai ke­pentingan bagi operasi meme­­ra­ngi kumpulan pengganas Daesh.

Menurut kenyataan Arab Saudi lagi, keputusan tegas itu juga dibuat ekoran ‘pelanggaran me­lam­pau pihak berkuasa Qatar se­jak beberapa tahun lalu’ selain tindakannya melindungi sejumlah pengganas dan kumpulan pelampau yang cuba menggugat rantau ini termasuk kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Al-­Qaeda.

Riyadh juga menuduh Doha menyokong aktiviti pengganas yang disokong Iran di Qatif, Arab Saudi yang dikuasai kumpulan Syiah termasuk di Bahrain.

Untuk itu, Riyadh menarik keluar tentera Qatar daripada kumpulan tentera gabungannya di Yemen.

Pertikaian antara Qatar de­ngan negara-negara Teluk bermula se­­lepas berlaku penggodaman da­lam agensi berita Qatar yang menyiarkan kenyataan ‘palsu’ pemimpin negara itu, Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani selepas lawatan Presiden AS, Donald Trump.

Keputusan Arab Saudi itu adalah susulan keputusan Bahrain yang terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan Qatar.

Negara itu menuduh media Qatar mencetuskan ‘hasutan, soko­ngan terhadap aktiviti pengganas bersenjata dan membiayai kumpulan militan Iran untuk me­lancarkan sabotaj terhadap Bahrain selain menimbulkan huru-hara’.

Bahrain juga mengarahkan ke­semua diplomat Qatar meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam manakala pelabuhan dan ruang udara antara kedua-dua ­negara akan ditutup dalam tempoh 24 jam.

Sebaik sahaja Arab Saudi me­ngumumkan keputusan itu, UAE dan Mesir turut membuat keputusan yang sama.

UAE menuduh polisi berterusan Qatar ‘menghuruharakan ke­se­lamatan dan kedaulatan rantau ini selain memanipulasi serta me­ngelak komitmennya dan perjanjian yang dipersetujui.

UAE juga turut mengharamkan rakyat Qatar memasuki negaranya manakala rakyat Qatar yang di UAE diberi tempoh selama dua minggu untuk meninggalkan negara itu.

Mesir dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa Qatar bersikap ‘anti-Mesir’ dan Kaherah gagal menghalang negara itu menyokong keganasan.

Presiden Yemen, Abed Rabbo Mansour Hadi berkata, keputusan itu dibuat ekoran sokongan Qatar terhadap kumpulan pelampau di Yemen yang bertentangan dengan matlamat negara-negara Arab lain yang menyokong kerajaan yang sah.

Arab Saudi, UAE, Bahrain, Oman dan Qatar telah membentuk gabungan negara-negara Teluk yang dikenali sebagai Maj­lis Kerjasama Teluk (GCC) yang merupakan agensi yang paling berpengaruh di Asia Barat.

Setakat ini hanya Oman yang masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Pada bulan lalu, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir menyekat beberapa media milik Qatar termasuk agensi berita Al-Jazeera ekoran kenyataan Sheikh Tamim Al Hamad yang dikatakan memuji Iran sebagai ‘kuasa Islam’ selain mengkritik polisi Trump terhadap Teheran.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Qatar melahirkan rasa kesal terhadap tindakan negara-negara jirannya itu dan menyifatkan tuduhan itu tidak adil kerana berdasarkan dakwaan yang tidak berasas.

Namun negara itu menegaskan, keputusan tersebut tidak akan ‘memberi kesan terhadap kehidupan seharian penduduknya’.

Sumber: Utusan


loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.