Header Ads

Awas!! Inilah 4 Hukum Melintas Di Hadapan Orang Yang Sedang Bersolat




Kebiasaannya bila kita pergi ke masjid, atau surau, sudah pasti ramai yang sedang bersolat, sama ada solat sunat, atau pun solat fardhu.

Mungkin ada yang solat di bahagian belakang, atau berdekatan pintu masuk kerana saf penuh, atau pun bersama anak kecil, dan apabila kita ingin masuk, harus melalui di hadapan mereka yang sedang solat.

Ada yang mengatakan, jika kita bersolat, perlu letakkan sesuatu di hadapan, supaya orang boleh melalui di hadapan kita walaupun kita sedang bersolat.

Namun begitu, ada hokum-hukum yang menyatakan mengenai perkara ini, iaitu melalui di hadapan orang yang sedang bersolat, dan berdasarkan beberapa keadaan.

Mari kita ikuti perkongsian penuliasan dari Ustaz Abdul Rahman Iskandar di laman Majlis Ulama ISMA ini.

Sumber dari Busr bin Said bahawa Zaid bin Khalid Al-Juhaniy pernah mengutus kepada Abu Juhaim Abdullah Al-Anshari mengenai sikap yang didengarnya daripada Rasulullah s.a.w. terhadap orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat. Maka Abu Juhaim berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang solat itu mengetahui padah yang akan menimpanya, tentulah lebih baik baginya dia berhenti 40.. (hari.. bulan.. tahun..) daripada dia melintasinya.” (Muttafaq ‘alaih)

Namun perlu dijelaskan isu ini dengan melihat beberapa keadaan:

1. Hukum melintas di hadapan orang solat yang meletakkan sutrah (tanda penghalang)

Para ulamak mengharamkan seseorang melintas di hadapan seseorang yang sedang solat yang MELETAKKAN SUTRAH, sekalipun solat orang itu tidak batal sebabnya.

Kata Imam An-Nawawi : Dalam Mazhab Syafie jarak seseorang dengan sutrah itu janganlah jauh melebihi tiga hasta; dan dalam jarak inilah seseorang dilarang melintas di hadapannya.

2. Hukum melintas di hadapan orang yang solat tanpa sutrah

Kata Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim : Adalah MAKRUH melintas dalam keadaan demikian; demikian juga jika ada sutrah, tetapi letaknya jauh.

Berkata Ibnul Qayyim: “Menurut Ibnu Hibban dan lain-lain, hukum haram yang disebutkan itu ialah bila orang yang solat itu menggunakan tabir/sutrah. Maka kalau tidak pakai tabir, tidaklah haram lalu di depannya.

3. Hukum melintas orang yang sedang solat kerana hendak memenuhkan sof

Kata Imam An-Nawawi : Seandainya ada kekosongan di sof pertama (yang kerap menjadi rebutan orang ramai), maka bolehlah seseorang melintas orang yang sedang solat di sof kedua (atau lainnya) dan masuk berdiri di tempat tersebut disebabkan kealpaan orang-orang di belakang tidak memenuhkan tempat yang perlu dipenuhkan.

Berdasarkan perbuatan Abdullah bin Abbas r.a., sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sohihain, Ibnu Abbas berkata;

“Aku datang dengan menunggang keldai betina. Ketika itu aku hampir menginjak masa baligh. Rasulullah sedang solat di Mina dengan tidak menghadap ke dinding. Maka aku lalu di depan sebagian sof. Kemudian aku melepaskan keldai betina itu supaya mencari makan sesukanya. Lalu aku masuk kembali di tengah sof dan tidak ada seorang pun yang mengingkari perbuatanku itu” (Muttafaq ‘alaih).

4. Khusus di Masjidil Haram

Boleh lalu di depan orang yang sedang solat (tidak seperti di masjid-masjid lain). Hal ini berdasarkan beberapa atsar (perbuatan) para salafus solih yang membiarkan orang yang lalu di depan mereka yang sedang solat di Masjidil Haram, baik yang lalu itu orang-orang yang sedang tawaf atau bukan.

Di antara salafus solih itu adalah Abdullah bin Jubair.

Bahkan orang yang towaf itu adalah orang-orang yang lebih berhak berada di tempat towaf. Kerana tidak ada tempat lain selain ini. Sedangkan orang yang solat, dia boleh solat di tempat lain. Adapun orang yang towaf tidak memiliki tempat lain selain sekeliling Kaabah, sehingga ia lebih berhak.

Hal ini juga disebabkan kerana Masjidil Haram itu selalu penuh sesak, sehingga tidak memungkinkan melarang orang yang akan lalu di depan orang yang sedang solat.

Dalam hal ini, kita wajib memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada sesama jamaah.

Namun jika boleh menghindari hal ini (seperti ada laluan) tanpa perlu melintasi orang yang sedang solat, maka itu lebih disukai. Kerana sebagaimana jika kita solat tentu kita tidak ingin mendapatkan gangguan sedikit pun, maka hendaknya kita pun berusaha tidak memberikan gangguan pada orang lain yang solat.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w :

“Tidak beriman seseorang di antara kamu hingga ia menyukai saudaranya sebagaimana ia menyukai sesuatu itu untuk dirinya” (Muttafaq ‘alaih)

Moga boleh menjadi panduan.

Ust Abdul Rahman Iskandar
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)


loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.