Header Ads

Ini Kata Pengasas Pusat Tahfiz, Mb Dan Ibu Bapa Pelajar Yang Meninggal Dunia



KUALA KRAI - Pengasas Pusat Tahfiz CT-One Centre, Datuk Adnan Hashim reda dengan pemergian anak-anak tahfiz di bawah jagaannya.

Bagi Adnan, insiden melibatkan 14 pelajar dan tujuh daripadanya meninggal dunia itu, satu kehilangan besar baginya.

“Hari ini hari sedih bagi kami. Mereka adalah antara kalangan yang terbaik.

“Meninggal dalam bulan mulia, hari terpilih dan dalam perjalanan ke majlis mengagungkan al-Quran, saya bersyukur.

"Semoga ALLAH tempatkan mereka dalam kalangan orang beriman. Mereka ini anak-anak yang paling istimewa bagi saya. Kehilangan yang besar bagi Abi,” katanya di Hospital Kuala Krai, Jumaat lalu.

Adnan yang mesra dengan panggilan Abi dalam kalangan pelajar tahfiznya itu memberitahu, beliau mendapat berita mengenai insiden itu setelah dihubungi rakannya.

“Lebih kurang jam 10.30 pagi dia telefon saya. Saya berada di Kuala Lumpur. Pada mulanya saya tak percaya dan terlalu terkejut.

“Apapun saya reda dengan semua ujian ALLAH SWT. Saya sendiri yang didik mereka supaya memahami Islam dan memperjuangkan ajaran agama.

“Ini salah satu yang perlu saya hadapi. Mati tidak mengira masa. Saya ajar mereka supaya lengkapkan diri dengan agama,” katanya.

Beliau juga memberitahu, ada antara jenazah akan dikebumikan di kawasan perkuburan tahfiz berkenaan untuk peringatan bersama kepada semua.

“Saya nak jadikan tanah perkuburan ini tempat semadi mereka yang pernah berkhidmat dan juga sebagai pelajar di sini.

“Mereka inilah anak-anak Abi yang pertama disemadikan di sini. Saya doakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan menjadi ahli syurga,” katanya.

Adnan bersama pelajarnya antara yang aktif menyokong program Kelantan #QuranHour yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

MB Kelantan ucap takziah

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tragis di Kuala Krai, pagi Jumaat lalu.


Ahmad menziarah mangsa sambil menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

“Saya terkejut mendengar berita kematian pelajar tahfiz itu. Saya ucap takziah kepada semua keluarga mangsa terlibat dan saya harap mereka bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

"Semoga ALLAH SWT menempatkan mereka di syurga bersama syuhada dan solihin. Mudah-mudahan amalan akhir mereka dalam mempelajari al-Quran diberi ganjaran berlipat ganda khasnya di bulan Ramadan,” katanya di Hospital Kuala Krai, Jumaat lalu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa terlibat.

Reda anak meninggal di bulan mulia

“Arwah dah hafaz 26 juzuk, tapi tak sempat hajatnya nak jadi huffaz. Apapun saya tetap bersyukur dia pergi pada bulan mulia dan dalam perjalanan menuntut ilmu," luah Noriah Muhamad, 45, ibu kepada Mohamad Rahman.

Menurut Noriah, dia tidak menduga anaknya maut dalam kemalangan yang meragut enam lagi nyawa pelajar tahfiz itu.

“Saya tahu kejadian tu sekitar jam 10 pagi. Saya terus ke sini (Hospital Kuala Krai). Saya ingatkan anak hanya cedera, tapi sebaik sampai, baru tahu anak meninggal,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak kelimanya itu.


Noriah (kanan) dan Rozali ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Krai, Jumaat lalu.

Kata Noriah, walaupun kehilangan anaknya dalam nahas tragis itu, dia bersyukur kerana sempat menemui arwah bulan lalu.

“Kali terakhir jumpa arwah bulan lepas, dia ada balik. Arwah nampak gelisah, macam tak puas balik, sebab sekejap saja.

“Arwah ada beritahu tahun ini dia akan hafaz 30 juzuk al-Quran. Tapi hajatnya tak sampai. Saya reda dan akur pada takdir,” katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Rozali Mohd Bor, 53, berkata, anaknya seorang yang tidak banyak cakap tetapi rapat dengan semua adik-beradik.

Menurutnya, jenazah Mohamad Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, Bachok, sebaik selesai dituntut.


Warga Pusat Tahfiz CT-One Centre sama-sama mengangkat jenazah ke dalam van.


Pelajar Pusat Tahfiz CT-One Centre hiba melihat jenazah rakan mereka yang akan dibawa ke tanah perkuburan.



Gerimis iringi jenazah Sharifuddin

GERIMIS membasahi kawasan Masjid AlHashimi sebaik sahaja jenazah Sharifuddin dibawa menaiki van dan meninggalkan pekarangan masjid.

Lebih 30 rakan seperjuangan Allahyarham memenuhi kawasan pintu utama masjid bagi memberi penghormatan terakhir kepada pelajar tahfiz itu.

Suasana pilu, hiba dan sedih menyelubungi, namun kecekalan dan kekuatan jiwa serta rohani dimiliki pelajar tahfiz tersebut berjaya menutup seketika emosi mereka.

Kesemua mereka dengan wajah tenang melihat van jenazah yang membawa rakan mereka pergi meninggalkan pusat tahfiz berkenaan.

Ada yang merenung, ada yang bergenang air mata, ada yang hanya mampu melihat ke langit dan tidak kurang juga ada yang memegang van jenazah tersebut sehingga pintu ditutup.


LUKMAN

Lukman Baihaki, 14, mengakui, Allahyarham Sharifuddin berubah sejak belakangan ini dan dia tidak menyangka itu petanda pemergian sahabatnya itu.

“Memang dia berubah sikit, sebelum ini dia ceria. Tapi sejak akhir-akhir ni muram sikit, kurang ceria. Main bola pun tak ceria macam biasa,” katanya. 

Utama keselamatan, kebajikan anak tahfiz

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengusaha maahad tahfiz supaya patuh peraturan jalan raya terutama dari segi muatan pelajar, agar insiden van dinaiki pelajar tahfiz terbabas di Kampung Telekong, Jalan Kuala Krai - Kota Bharu, pagi Jumaat lalu tidak berulang.

“Saya ingatkan diri saya dan mudir maahad agar mengutamakan keselamatan serta kebajikan anak tahfiz ini.

“Kejadian sebegini bukan pertama kali berlaku dan sebaiknya ia jadi iktibar kepada semua,” katanya di Kuantan, Jumaat lalu.

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa sedih terhadap insiden berkenaan.

“Malang tidak berbau tetapi ia boleh dielak jika kita ikut piawaian,” katanya.

Sumber: www.gpsbestari.com



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.