Header Ads

‘Jika Cucu-cucu Saya, Dah Lama Kena Tangan’ – Chef Wan



Bila datang beraya di rumah orang, ibu bapa perlulah mengawal dan menjaga kelakuan anak mereka agar tidak menimbulkan sebarang masalah sehingga mengundang rasa tidak senang tuan rumah.

Baru-baru ini Chef Wan meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai sikap sesetengah ibu bapa yang hanya membiarkan anak-anak mereka berkelakuan seperti itu. Pernah dia terpaksa menegur anak-anak tetamunya dengan cara baik. Bagaimanapun katanya, ada ibu bapa yang tidak senang dengan tindakannya itu.

“Setiap hari raya, saya pasti ada masalah dengan kuah rendang atau kuah kacang yang meninggalkan kesan kotoran di kerusi meja makan. My bro kata, ada anak tetamu yang jatuhkan kuah makanan di atas kerusi.

“Setiap tahun, macam-macam tetamu yang menziarahi rumah kami yang anak-anak kecil mereka bermain meramas kuih-kuih dan taburkan di atas lantai. Tetapi Ibu bapa mereka kisah pun tidak.

“Sudah tentu saya akan menegur mereka seperti mana saya menegur sesetengah tetamu yang mengambil kek dan biskut, kemudian tinggalkan di pinggan tanpa memakannya. Saya tegur mereka dan kata, jika tak nak makan, jangan membazir makanan seperti itu. Teguran ini bukan sahaja untuk orang dewasa, tetapi untuk kanak-kanak juga. Sebab ramai lagi yang nak menjamunya.

“Ibu pernah tegur tindakan saya menegur anak-anak tetamu kerana bimbang tetamu kecil hati. Saya beritahu ibu bahawa tetamu yang berperangai seperti itu perlu ditegur. Jika tidak, ia akan menjadi tabiat yang kemudian akan dibawa dan dilakukan pula di rumah orang lain.

“Bukan jenis saya untuk melihat saja perbuatan seperti itu dan bercakap di belakang mereka mengenai perbuatan mereka yang saya tidak suka. Saya lebih suka tegur depan-depan secara baik. Saya rela tidak ada tetamu seperti itu yang tidak belajar bagaimana menghormati rumah orang. Segala adab nak masuk ke rumah orang, mereka mesti pelihara dengan baik.

“Saya juga pantang bila ada tetamu yang datang ke rumah suka meraba itu dan ini. Ada yang selalu bertanya berapa harga itu dan ini. Bila ada yang tanya berapa harga nilai rumah atau harga almari antik itu dan ini, pasti saya bahasakan, ‘nak tolong bayarkan hutang ke, sibuk menanya itu dan ini harga berapa?’,” tulisnya di Instagram,

Bukan itu sahaja, ada juga tetamu yang menggunakan tandas di rumahnya tidak mengepam tandas selepas digunakan dan kencing berterabur.

Bagaimanapun, Chef Wan bukanlah melabelkan semua tetamunya begitu. Hanya segelintir sahaja yang berperangai seperti itu.

“Macam-macam manusia yang tak ambil kisah. Yang anak lari sana sini seperti dirasuk pelesit pun ada. Langsung tak makan saman. Bila dah kena jerit dengan saya beberapa tahun lalu, langsung tak datang lagi. Mana tidaknya, ibu bapa boleh pandang macam tunggul saja.

“Jika cucu-cucu saya, dah lama kena tangan seperti arwah ayah saya lakukan sewaktu kami kecil dahulu. Ibu cubit adik-adik sampai lebam.

“Pelik bila kita jadi ibu bapa tak boleh lentur anak-anak sejak kecil lagi,” tulisnya.

Sumber: The Reporter



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.