Header Ads

KGMMB Rayu Cuti Sekolah Aidilfitri Diawalkan..




JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi mengelak kesesakan jalan raya dan menjamin keselamatan warga guru dan pelajar.

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata mengikut jadual asal yang dikeluarkan pihak kementerian, sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan mula bercuti pada 23 Jun ini (Jumaat) manakala negeri lain bermula pada 24 Jun (Sabtu).

Beliau berkata, kesesakan jalan raya dijangka berlaku teruk pada Sabtu kerana orang ramai mula cuti dan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri yang dijangka disambut pada 25 Jun (Ahad).

"Saya memohon bagi kira-kira 421,828 guru dan seramai 5.1 juta murid dan pelajar termasuk daripada 70 sekolah berasrama penuh diberi cuti sekolah seawal sehari atau dua hari supaya mereka dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan lebih selamat dan selesa," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Anuar Husin pula berkata, pihak kesatuannya turut memohon kepada kementerian supaya cuti awal diberi dan pihak sekolah boleh menggantikannya selepas sambutan Hari Raya.

"Jika cuti seperti dijadualkan keadaan ini dijangka berlaku kesesakan jalan raya yang lebih teruk kerana semua mahu balik kampung pada waktu yang sama dan boleh mewujudkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan jalan dan lebuh raya utama di seluruh negara

"Jika sekolah diberi cuti awal maka guru dan ibu bapa pelajar serta murid boleh merancang merancang perjalanan lebih awal sekali gus mengelak kesesakan serta menjamin keselamatan semua pihak," katanya.

Sumber: Berita Harian


loading...
Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.