Header Ads

Nazri Ucap Terima Kasih Pada Sarawak



Datuk Seri Nazri Aziz menganggap keputusan mengejut Sarawak menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia hari ini tidak ada kaitan dengan pertikaian antara beliau dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sebaliknya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Sarawak itu memandangkan semua pejabat Lembaga Pelancongan Malaysia di seluruh negara ditutup sejak Januari lalu sebagai langkah mengurangkan kos kerajaan.

Selain itu, katanya, ia bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.

"Saya berterima kasih kerana kerajaan Sarawak memahami apa yang saya lakukan dengan menarik balik wakilnya.

"Apa yang mereka lakukan (hari ini) selaras dengan apa yang saya lakukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Keputusan berkenaan diumum sehari selepas Nazri menggelar Abdul Karim sebagai menteri "setahun jagung".

Kenyataan Nazri itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Padang Rengas itu turut berjanji bahawa kementeriannya untuk terus menggalakkan pelancongan Sarawak kerana negeri itu masih sebahagian daripada Malaysia.

"Saya akan mengisi kekosongan ditinggalkan dengan Ketua Pengarah Imigresen kerana Jabatan Imigresen merupakan sektor yang sangat penting dalam pelancongan," katanya.

Sumber: Malaysiakini



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.