Header Ads

Rebat Tol, Teh, Kopi & RedBull Percuma Oleh PLUS Sempena Balik Raya




KUALA LUMPUR: Bukan hanya rebat tol, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut menyediakan minuman kopi, teh dan Redbull percuma di kawasan Rehat dan Rawat terpilih pada Hari Bukan Puncak sempena Balik Kampung Aidilfitri 2017. Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, ia sebagai sebahagian dari strategi untuk memastikan aliran trafik terkawal dan memberikan keselesaan kepada pengguna lebuhraya PLUS sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing semasa Aidilfitri nanti.

Menurutnya, rebat tol 30 peratus ditawarkan untuk transaksi tol menggunakan kad PLUSMiles selama 6 Hari Bukan Puncak iaitu pada 19, 20, 21, 28, 29 Jun dan 3 Julai. Manakala, rebat tol 10 peratus ditawarkan untuk transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go pada tarikh yang sama.

“Rebat ini diberikan kepada orang ramai yang memilih untuk bergerak pulang ke kampung pada Hari-hari Bukan Puncak dalam usaha kami mengagihkan trafik di musim perayaan,” katanya.


Selain itu ujar beliau, penawaran rebat 30 peratus untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles. Manakala, rebat 10 peratus tersebut diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS.

Azman berkata, rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuhraya kendalian PLUS. Ia ditawarkan sepanjang hari pada tarikh-tarikh tersebut.


Menurutnya, pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 30 peratus dan 10 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Julai hingga 14 Oktober yang akan datang.

Bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Manakala, bagi insentif di kawasan rehat, pihak PLUS turut menyediakan minuman kopi dan teh secara percuma bermula jam 10 malam pada 23 sehingga 26 Jun ini untuk orang ramai yang berhenti berehat di semua kawasan hentian Rehat dan Rawat R&R PLUS yang terlibat sehingga stok masih ada kecuali di Restoran Jejantas (Sungai Buloh, Ayer Keroh dan Penanti) dan R&R Mambau dan Tanjung Kupang.

Menurutnya, selain itu, pihak PLUS turut menyediakan minuman RedBull percuma di hentian sebelah terpilih pada 23, 24, 29, 30 Jun dan 1 Julai.

“Pemberian percuma air minuman Redbull untuk perjalanan juga turut disediakan di kawasan Alor Pongsu SB, Simpang Pulai Layby NB, Ulu Bernam R&R SB, Senawang Layby NB, Kulai Layby NB, Bukit Besi Layby NB dan Kijal Layby NB pada 29, 30 Jun sehingga 1 Julai,” katanya.

Beliau berkata, pihak PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak pada Aidilfitri ini dan jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

Menurutnya, strategi dan pendekatan PLUS ini khusus untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa pada cuti Aidilfitri yang sudahpun bermula.

TTA elak kenderaan berada di satu-satu lokasi secara serentak

Azman berkata, di samping itu, PLUS sekali lagi mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.

Kata beliau, selain daripada mengelakkan kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan, TTA juga bertujuan mengelakkan kenderaan berkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama.

“Lonjakan jumlah kenderaan yang tinggi di satu-satu lokasi pada masa yang sama sudah pastinya menyebabkan laluan menjadi sesak dan ini diburukkan lagi jika terdapat kemalangan atau kerosakan kenderaan berat di lokasi tersebut,” katanya.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan supaya menyusun pelan perjalanan balik kampung dan balik kerja mereka berdasarkan kepada TTA.

Beliau berkata, berdasarkan kajian PLUS, apabila ramai yang mematuhi TTA untuk pulang ke kampung dan pulang semula ke kota selepas bercuti, perjalanan di lebuh raya menjadi semakin lancar.

Selain daripada strategi pengagihan trafik, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi pengurusan dan tahap perkhidmatan lebuh raya pada musim perayaan yang akan datang.

“Di antara langkah-langkah yang akan diambil adalah menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, menempatkan lebih kurang 2,000 kakitangan di plaza-plaza tol, pemantauan trafik dari udara, menempatkan trak makanan bergerak di kawasan rehat dan plaza tol terpilih dan lain-lain lagi,” kata Azman.

Selain itu, PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk melancarkan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak Polis.

Maklumat trafik terkini

Dalam pada itu, bagi membantu merancang perjalanan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi perkhidmatan Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps, talian PLUSLine 1800 88 0000, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

“Orang ramai juga disarankan supaya menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps untuk mengelakkan mereka terperangkap di dalam kesesakan,” tambah beliau.

PLUS Mobile Apps untuk dapatkan bantuan di Lebuh Raya

Sementara itu, PLUS turut membuat penambahbaikan terhadap aplikasi PLUS Mobile Apps dengan memasukkan butang fungsi ‘SOS’ bagi membolehkan pengguna lebuh raya terus menghubungi Pusat Kawalan Trafik PLUS untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan seperti kemalangan dan lain-lain.

“Sejurus menerima notifikasi, Pusat Kawalan Trafik akan terus menghubungi pengguna untuk mengkoordinasi bantuan kecemasan yang diperlukan,” jelas Azman.

Sumber: Menara.my



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.