Header Ads

Formula Baru Harga Minyak Akan Diperkenalkan..



KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkenal formula baru tidak lama lagi berhubung mekanisme penetapan harga mingguan petrol dan diesel.

Menteri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kementeriannya sedang berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mewujudkan situasi menang-menang.

“Dengan harga minyak terus menurun dalam beberapa minggu ini, mereka (pengusaha stesen minyak) menghadapi tekanan. Saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani serta pengusaha berkenaan.

“InsyaAllah, menjelang minggu depan, akan ada sesuatu untuk setiap pihak.

“Kita akan tentukan kaedah ini dapat membantu rakyat dan serentak itu menunjukkan industri berkenaan boleh diliberalkan dan mungkin pada masa hadapan, kita akan lakukan (penetapan harga) secara harian,” katanya pada sambutan Hari Raya anjuran Malaysia Intellectual Property Corporation (MyIPO) di Kuala Lumpur hari ini.

Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac dan pada setiap Rabu, pengumuman harga baharu minyak dibuat. Harga itu berkuat kuasa selepas tengah malam.

Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit yang lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan.

Bagi minggu sehingga Rabu ini, harga seliter ditetapkan pada RM1.89 untuk RON95, RM2.15 untuk RON97 dan RM1.84 untuk diesel. - Harian Metro



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.