Header Ads

"Hulur Tangan Minta Bantuan, Kocek Terisi Kotak Rokok" - Mufti Perlis Sindir Asnaf



KANGAR: Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur sikap segelintir asnaf di negeri ini yang malas dan enggan bekerja untuk mengubah kehidupan mereka.

Katanya beliau sering menyertai program Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengayuh basikal mencari asnaf di kampung-kampung untuk diberi bantuan dan dengan cara itu dapat melihat sendiri cara hidup mereka.

"Semasa rombongan Raja Muda sampai di rumah mereka, saya dapati ada asnaf masih berkain selimut sedangkan orang lain sudah lama keluar bekerja mencari rezeki," kata Mohd Asri dalam kuliah mingguannya di Masjid Alwi di sini, malam tadi.

Mohd Asri berkata dalam kunjungan itu juga kebanyakan asnaf mengadu tiada wang untuk membeli keperluan dapur termasuk beras.

"Yang saya kesal ialah semasa menerima sumbangan daripada Raja Muda, ada antara asnaf mempunyai kotak rokok dalam poket baju.

Kalau mampu beli sekotak rokok bernilai RM15 atau RM17 tetapi tidak boleh membeli sekampit kecil beras hanya berharga RM13, mereka tidak layak dikategorikan sebagai asnaf," tambahnya.

Mohd Asri berharap asnaf-asnaf di Perlis segera mengubah sikap dan berusaha keras meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga dengan melakukan apa sahaja pekerjaan yang memberi hasil. - BERNAMA



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.