Header Ads

Kanak-kanak Maut Disengat Lebih 60 Tebuan Ketika Main Sorok-sorok



Besut – Seorang kanak-kanak yang disengat tebuan semalam ketika bermain sembunyi-sembunyi di kawasan hutan pokok gelam berhampiran rumahnya di Kampung Benting Lintang, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK)Benting Lintang, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kota Bharu, Kelantan.

Bapa mangsa, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin,30, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu sedang bermain bersama rakan-rakan.

“Waktu itulah dia bersama empat yang lain diserang tebuan yang bersarang di atas pokok, dan anak saya paling banyak kena sengat di seluruh badan, kaki dan muka oleh lebih 60 ekor tebuan.

“Anak saudara saya hantar dia pulang ke rumah dengan motosikal kira-kira pukul 6.45 petang.

“Keadaannya ketika itu sudah lemah namun masih boleh bercakap,” katanya yang ditemui di rumahnya petang tadi.

Mohd Rosmin memberitahu, dia bersama isterinya, Nor Azah Hamid, 27, terus kejarkan anaknya ke Hospital Besut dengan kereta.

Menurut pemandu lori itu, memandangkan keadaan anaknya semakin teruk, Muhammad Adrian Aiman dirujuk ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Mohd Rosmin berkata, dia dan isteri sebelum itu beranggapan anaknya beransur pulih kerana pihak hospital memberitahu keadaan stabil namun bermula pagi ini keadaannya kritikal kerana buah pinggangnya tidak berfungsi.

“Pada pukul 11 pagi, doktor mengesahkan Muhammad Adrian Aiman meninggal akibat kegagalan jantung berfungsi setelah bisa puluhan tebuan yang menyelirap di segenap salur darahnya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE



Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.