Header Ads

Kembali Meringkuk Selepas Lari Dari Penjara Dua Hari Sebelum Dibebaskan


Loading...

MELAKA: Berbaki dua hari sebelum dibebaskan, seorang pemuda terpaksa kembali meringkuk di tirai besi setahun lagi selepas bertindak cuba melarikan diri diri dari penjara, Julai lalu.

Keputusan itu dibuat oleh majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim terhadap tertuduh, Muhamad Shukri Khalid, 25 tahun.

Muhammad Shukri yang sebelum ini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Jun 2016 lalu selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat seorang individu lain sepatutnya dibebaskan pada Jumaat ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan tahanan sah mengikut Seksyen 304(B) Kanun Keseksaan didapati melarikan diri daripada pengawasan anggota Penjara Dusun Dato Murad sekitar 12.45 tengah hari 18 Julai 2019 lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia tidak berniat untuk melarikan diri sebaliknya dia terkenangkan keluarganya dirumah lebih-lebih lagi ayah yang sedang sakit.

Muhammad Nazrin pada penghakimannya kemudian menjatuhi hukuman penjara setahun terhadapnya sebagai pengajaran yang bermula selepas hukumannya sebelum ini tamat pada Jumaat ini.

Julai lalu, media melaporkan polis berjaya menahan semula seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari tahanan di Penjara Dusun Dato Murad, Ayer Keroh.

Suspek yang berusia 25 tahun ditangkap jam 8.45 malam, tidak sampai 24 jam selepas dia melarikan diri ketika menjalankan tugas di Kelab Golf Tiara Ayer Keroh, sekitar jam 12.50 tengah hari, hari sama.

Sumber: Astro Awani




Loading...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.